Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez mengisytiharkan perintah darurat kedua negara itu bertujuan untuk mengawal penularan COVID-19.

Pemimpin terbabit mengumumkan langkah luar biasa itu menerusi ucapan disiarkan stesen TV yang akan berkuat kuasa pada 25 Oktober.

Gesaan untuk mengisytiharkan perintah darurat meningkat beberapa hari selepas negara itu merekodkan lebih sejuta kes jangkitan COVID-19 dan menjadi negara pertama paling teruk terjejas di rantau Kesatuan Eropah (EU).



Keputusan itu dibuat selepas Sanchez mengadakan mesyuarat khas berikutan Madrid berdepan desakan banyak pihak untuk bertindak segera membendung peningkatan kes jangkitan COVID-19.

Jurucakap kerajaan memaklumkan para menteri mengkaji syarat untuk pelaksanaan langkah darurat tersebut malah ia turut disambut baik kebanyakan komuniti autonomi di Madrid.

Menurut Sanchez, kerajaan akan menggunakan perintah darurat tersebut untuk menguatkuasakan perintah berkurung bermula jam 11 malam hingga 6 pagi (waktu tempatan) di seluruh negara kecuali di Kepulauan Canary.

"Pemimpin 19 wilayah Sepanyol juga akan diberi kuasa untuk menetapkan tempoh berbeza bagi melaksanakan perintah berkurung yang ketat, menutup sempadan wilayah dan mengehadkan perjumpaan sosial kepada enam individu.

“Sepanyol dan rantau Eropah kini berdepan gelombang kedua pandemik ini," jelasnya.

Katanya, beliau juga akan meminta kelulusan Parlimen pada minggu depan untuk melanjutkan tempoh darurat tersebut selama enam bulan sehingga Mei 2021.

Terdahulu, pengisytiharan darurat yang pertama di negara itu telah dikuatkuasakan pada Mac lalu.


Sumber: AFP