Malam ini episod Separuh Akhir Big Stage 2020 akan berlangsung sekali lagi dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan bersiaran pukul 9 malam di saluran Astro Ria HD (104) dan Astro Ria (124).

Sebanyak enam peserta siap bertanding. Mereka adalah Azzam Sham, Usop, Qody Rany, Fadh Majid, Dinie Rashid dan satu satunya wakil peserta perempuan yang masih berjuang adalah Farisha Iris.

Pada malam separuh akhir ini, setiap peserta akan diuji dengan tema Duominasi Platinum dan Pilihan Juri Tetap yang telah menetapkan pemilihan lagu dan rakan duet buat mereka.

Di antara enam peserta ini, siapakah kelak yang akan mara ke final? Apakah kriteria kali ini yang dicari oleh para juri ; dari Ajai yang 'pantang' dengan permulaan 'ke laut' penyanyi.

Atau Dayang Nurfaizah yang seperti sudah tidak lagi boleh memberikan komentar berlapik dan bersifat baik juga Faizal Tahir yang semakin gelisah mencari seorang lagi pelapis penyanyi generasi masa kini yang lengkap pakej dan faham bagaimana untuk mempunyai 'design' sendiri dalam dunia seni.

Itu belum lagi dicampur dengan ekspektasi tinggi oleh para netizen yang siap diwakili barisan wakil netizen yang dipilih produksi.

Dan buat para peserta pula, apakah strategi yang telah mereka atur? Adakah sekadar selesa dan semakin gigih menonjolkan sisi terbaik yang mungkin disimpan beberapa minggu sebelum ini dan mahu dipersembahkan semuanya pada malam ini?



Bagaimana Usop yang telah berjaya memikat hati penonton dan juri sebelum ini mahu mengubah persepsi dirinya yang selesa dan 'main main' dengan mendendangkan lagu milik Anuar Zain, Lelaki Ini lewat tema Lagu Pilihan Juri Tetap di peringkat separuh akhir ini.

Adakah Dinie Rashid yang diselamatkan para juri di episod suku akhir kelmarin mampu membuktikan ia layak ke final dengan Adventure Of A Lifetime (Coldplay).

Semalam milik Aina Abdul akan dibawa oleh Farisha Iris, peserta yang dilihat oleh para juri sebagai telah menampilkan potensi dan progres yang besar sepanjang pertandingan berjalan.



Sementara itu buat Azzam Sham yang akan membawakan lagu Judika iaitu Tak Mungkin Bersama dan Fadh Majid yang menyanyikan lagu Inggeris Someone You Loved (Lewis Capaldi) akan sama sama mampu mara ke final atau sebaliknya?

Jawapannya hanya ada pada semua yang mereka persembahkan pada malam ini. Dan kadang kala, selain kegigihan, nasib adalah hal yang selalu bersama kita semua ; sama ada bernasib baik atau sebaliknya.

Apapun selamat berjuang buat keenam enam peserta separuh akhir Big Stage 2020. Biar harus kandas kelak, percayalah ia bukan hanya tentang kemenangan semata mata tapi bagaimana kalian mengambil serius semua peluang dan ilmu yang ada.

Jika pun ke final lalu menang, sekiranya selesa tanpa gigih usaha, lama lama nanti ia tenggelam entah ke mana.



Instagram: @farisha_iris