Berita
Serene Lim Ditangkap Tentera Jepun, Jadi Hamba Seks?
Pelakon Serene Lim mengakui bahawa dia berdepan cabaran tersendiri apabila diberi peranan memegang watak sebagai perempuan tahanan yang menjadi hamba seks tentera Jepun dalam filem terbarunya, The Garden of Evening Mists.
Serene, 24, berkata, wataknya sebagai Teoh Yun Hong itu memerlukan dirinya melakukan kajian mendalam mengenai karakter yang perlu dibawakannya itu.
"Ini merupakan pengalaman pertama saya diberikan watak sebegitu. Lagipun, saya tidak pernah mengetahui mengenai wanita tahanan yang menjadi hamba seks Jepun.
"Justeru, saya perlu melakukan kerja lebih sedikit. Saya banyak menonton dokumentari berkaitan zaman perang di Malaya dan dokumentari mengenai perempuan yang dijadikan hamba seks ketika zaman penjajahan Jepun," katanya.
Menurut Serene lagi, dia mengakui watak itu juga cukup berat kerana dia perlu bijak bermain dengan emosi yang perlu dizahirkan pada riak wajahnya.
"Ia satu watak yang sarat dengan emosi kerana ia cuba memaparkan ikatan kasih sayang yang wujud antara kakak dan adik," kongsinya.
Serene ditemui pada sidang media selepas sesi tayangan filem The Garden of Evening Mists yang diadakan di MBO Starling Mall, Petaling Jaya, Selangor hari ini.
Turut hadir pada majlis tersebut Pengarah Kandungan Astro, Agnes Rozario dan Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad.
Filem The Garden of Evening Mists merupakan karya adaptasi novel tulisan novelis tempatan, Tan Twan Eng.
Diarahkan pengarah Taiwan, Tom Shu-Yu Lin, filem tersebut mengisahkan kehidupan wanita bernama Teoh Yun Ling yang mahu membina taman Jepun demi mendiang adiknya, Teoh Yun Hong yang dilakonkan oleh Serene.
Bagaimanapun, Yun Ling (Sinje Lee) kemudian menjalin hubungan dengan tukang kebun Jepun, Nakamura Aritomo (Hiroshi Abe).
Filem terbitan Astro Shaw dan HBO Asia itu akan menemui penonton di pawagam bermula 16 Januari ini.
Must-Watch Video