Pelakon Serene Lim mengakui berasa agak gementar apabila digandingkan bersama pelakon berpengalaman, Sinje Lee dalam filem The Garden of Evening Mists.

Serene, 24, berkata dia bimbang sekiranya dia gagal membawa wataknya dengan baik memandangkan dia pertama kali diberi peranan bagi menjayakan sebuah karya yang menampilkan nama-nama besar.

"Apabila saya ditawarkan untuk berlakon dalam filem ini saya berasa gembira. Cuma, saya berasa gementar apabila perlu berlakon dengan Sinje.

"Ini kerana saya tidak ada banyak pengalaman dalam dunia lakonan berbanding dirinya yang merupakan orang lama.

"Bagaimanapun, dia banyak membantu saya ketika di set. Dia pegang tangan saya dan buat saya rasa selesa ketika ingin menjayakan satu-satu babak. Dia seorang pelakon yang hebat," kata Serene kepada Gempak.

Serene memegang watak sebagai Teoh Yun Hong yang merupakan adik kepada Yun Ling lakonan Sinje.



Katanya, dalam filem itu, biarpun wataknya tidak banyak, namun, ia menjadi elemen penting dalam penceritaan keseluruhan filem.

"Disebabkan kasih sayang seorang kakak terhadap adik yang terbunuh, maka, dari situlah berkembangnya cerita usaha untuk membina taman Jepun bagi merealisasikan impian mendiang adiknya," katanya.

BACA: Serene Lim Ditangkap Tentera Jepun, Jadi Hamba Seks?

Filem The Garden of Evening Mists merupakan karya adaptasi novel tulisan novelis tempatan, Tan Twan Eng.

Diarahkan pengarah Taiwan, Tom Shu-Yu Lin, filem tersebut turut menampilkan pelakon popular Jepun Hiroshi Abe.

Jadi, bagi mereka yang belum menonton, jangan lupa saksikan filem terbitan Astro Shaw dan HBO Asia itu di pawagam berhampiran anda.

BACA: "Filem Ini 10/10!...Saya Sampai Menangis" - Penonton Sifatkan The Garden of Evening Mists Karya Tempatan Yang 'Underrated'