Pengacara MeleTOP, Hawa Rizwana tidak menolak pasti akan wujud perbandingan dari segi pengacaraan antara dirinya dan juga hos terdahulu iaitu Neelofa.

Bagaimana kata Hawa, dia menyerahkan segalanya kepada penonton mengenai perkara itu.

“Ada rezeki kita terima dan buat yang terbaik. Yang penting niat kita, nawaitu kita kerana Allah.

“Kita nak pastikan semua yang menonton gembira. Jadi untuk menggelakkan perbandingan itu terserah dekat semua.

“Saya buat apa-apa pun seikhlas hati atas minat diri sendiri,” katanya kepada Gempak.

Hawa ditemui selepas tamat siaran langsung MeleTOP pada malam Selasa.

A post shared by MeleTOP (@meletop)

Mengulas mengenai program itu, Hawa berkata untuk mengendalikan jenama popular tersebut merupakan satu tanggungjawab yang besar.

“MeleTOP mula 2012, tahun ini 2022 jadi sudah 10 tahun bersiaran. MasyaAllah, bertahan dan semakin membesarnya meleTOP itu sendiri.

“Kak Neelofa dan abang Nabil dah setkan MeleTOP itu sebagai satu jenama yang sangat ekslusif serta berprestij.

“Ini merupakan tanggungjawab yang sangat besar, tapi kita anggap ini sebagai satu rezeki daripada Allah,” ujarnya.

Terdahulu, Teka-teki mengenai pengacara tetap program MeleTOP akhirnya terjawab apabila Hawa Rizwana diumumkan akan menggalas tanggungjawab tersebut.

Pemilihan Hawa itu diumumkan secara rasmi menerusi program MeleTOP yang bersiaran secara langsung pada Selasa.

BACA: Teka-Teki Terjawab… Hawa Rizwana Diumum Pengacara Tetap MeleTOP! - “Saya Tak Terkata, Akan Cuba Sehabis Baik”

Kemunculan Hawa juga disambut baik dan penuh sorakan penonton yang gembira dengan pengumuman itu.

Untuk info, MeleTOP tidak mempunyai pengacara tetap untuk bergandingan dengan Nabil Ahmad selepas Neelofa mengambil keputusan untuk mengundurkan diri pada Disember 2019.

Neelofa telah digandingkan dengan Nabil untuk mengemudikan MeleTOP sejak tahun 2012.

MeleTOP bersiaran setiap Selasa, jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104).

MelaTOP juga bakal mengadakan Konsert 10Q MeleTOP pada minggu hadapan bersempena dengan ulang tahun program berkenaan.