Laman Utama
Seronok Bila Melihat Mereka Senyum Kesyukuran – Ashraf Kongsi Momen Peribadi Misi Bantuan Khas Lockdown
Tiada yang lebih membahagiakan pelakon, Ashraf Muslim saat diberi kesempatan untuk turut sama membantu meringankan beban masyarakat ketika berdepan kesulitan akibat pandemik Covid -19.
Menerusi Misi Bantuan Khas Lockdown, Ashraf bersyukur apabila menerima sokongan daripada kawan-kawan dan orang ramai dalam usaha menolong mereka yang terjejas bagi meneruskan kehidupan seharian.
“Insya-Allah, dengan usaha ini dapat memberi kelegaan buat mereka,” ujar Ashraf yang berazam untuk terus membantu sehabis baik dalam menjayakan misi amanah ini.
Paling istimewa, pelakon berusia 40 tahun itu meluah keterujaan apabila misi ini mendapat kerjasama daripada Yang Amat Mulia (YAM) Tunku Puteri Negeri Sembilan, Tunku Jawahir binti Almarhum Tuanku Jaafar.
Misi Bantuan Khas Lockdown di bawah pimpinan Tunku Jawahir telah dimulai dengan pengagihan barang-barang keperluan asas di Hulu Langat, Selangor termasuk Maahad Tarbiah Islam Assofa pada Jumaat lalu.
Punya pengalaman pahit dijangkiti virus Covid-19 pada April tahun lalu, Ashraf memuat naik sebuah video di Instagram yang memperlihatkan aktiviti sepanjang berlangsung misi bantuan tersebut.
“Seronok bila melihat mereka yang memberi senyuman kesyukuran dengan sumbangan yang diterima oleh mereka.
“Ini semuanya hasil sumbangan daripada anda yang ingin meraih pahala luar biasa. Teruskan bersedekah guys. Saya doakan semoga anda semua dimurahkan rezeki dan menyelesaikan segala kesulitan yang kita lalui.” akhiri Ashraf.
Misi itu turut dibantu oleh pelakon Azar Azmi yang meneruskan bantuan ke lokasi seterusnya di Pahang.
Instagram: @ashrafmuslim
Must-Watch Video