Pelakon drama Degup Cinta, Shiqin Kamal meluahkan rasa tidak senang dengan sikap seorang pelawak yang didakwa melakukan 'body shaming' terhadapnya.

Perkara itu dikongsikan Shiqin menerusi satu entri yang dimuat naik di Instagram Story miliknya.

"Inilah contoh artis Malaysia yang suka body shaming!

"Jangan risau aku tak emo pun, cuma aku rasa nak kenalkan kau dekat peminat aku dan hargai usaha kau selama ini," katanya.

Dalam entri tersebut, pelakon drama Dendam Cinta Arissa itu turut berkongsi paparan tangkap layar mesej yang diterima daripada pelawak berkenaan.



Pada masa sama, kata Shiqin, dia juga tidak akan teragak-agak untuk mendedahkan mana-mana individu kepada umum yang cuba melakukan tindakan sama.

"Lepas ni, sesiapa yang datang dekat saya dengan vibe atau mesej sebegini, saya akan dedahkan diri anda okay? Tak kisahlah anda artis popular ke tak.

"Ada sahaja yang popular, dah kahwin pun sibuk dengan saiz badan saya. Kategori ni banyak, cuma saya tak faham ada isteri dah ni pun sibuk nak komen saiz badan perempuan lain," katanya.

Jelasnya lagi, adalah sesuatu yang tidak wajar untuk seseorang cuba mengeluarkan kenyataan yang menyentuh soal bentuk badan orang lain.

"Mereka selalu menjengkelkan saya dengan kata-kata 'oh nanti awak dah kahwin mesti kembang bontot, paha, hati jantung lutut bahu, urat' tolonglah bro, yakin sangat kau ni.

"Macam dah kahwin lima juta kali. Kenyataan seperti itu sangat menjengkelkan. Body shaming tu salah!," katanya.

Shiqin atau nama sebenarnya, Nur Ashiqin Mohd Kamal, 29, mula dikenali selepas membintangi filem Legenda Budak Setan.