Sebut sahaja filem Puteri Gunung Ledang (PGL), sudah pasti ramai yang merindui dan tidak pernah jemu untuk menonton filem agung ini.

Berita gembira buat semua peminat PGL, Enfiniti kini menayangkan semula filem epik terbitan mereka yang telah memenangi pelbagai anugerah di dalam dan luar negara itu.

PGL versi Riis Teater Asal Berformat Digital boleh ditonton secara atas talian menerusi platform penstriman video EnfinitiV.Asia selama 10 hari bermula 13 November hingga 22 November 2020.

Tayangan khas potongan asal 145 minit garapan pengarah tersohor Saw Teong Hin ini turut mengandungi beberapa adegan yang telah dipotong dan dokumentari khas Di Sebalik Tabir Pembikinan Puteri Gunung Ledang.

Ini berikutan sambutan luar biasa sewaktu tayangan filem tersebut dari versi Producer's Cut berdurasi 115 minit yang telah disiarkan di platform video YouTube pada 10 Oktober bagi meraikan hari ulang tahun Enfiniti.

Tayangan eksklusif tersebut berjaya menghimpunkan lebih 5,000 tontonan penonton dan interaksi dalam ruangan sembang secara langsung di YouTube, serta komen di laman media sosial Enfiniti. Peminat filem tersebut berharap agar tayangan filem itu diteruskan, dengan juga penayangan rilis asal teater filem tersebut.

Terhad selama 10 hari sahaja, peminat filem PGL akan dapat merasai semula pengalaman tontonan filem itu dalam format HD termasuk akses untuk menonton klip klip eksklusif menerusi pelbagai peranti secara on-demand di ruang tamu rumah mereka dalam suasana selesa dan selamat.

Menurut Chief Dream Maker Enfiniti Group, Penerbit Eksekutif dan pelakon utama PGL, Puan Sri Tiara Jacquelina, beliau tidak pernah menjangka filem itu masih mendapat sambutan hangat dari orang ramai meskipun selepas 16 tahun ditayangkan.

“Saya mengalirkan air mata sewaktu menonton semula filem tersebut setelah sekian lama. Tidak pernah terbayang di fikiran saya, setelah 16 tahun filem itu ditayangkan ia akan terus segar dan diingati penonton hari ini.

"Peminat tegar dunia perfileman, penuntut jurusan perfileman dan pengkritik filem sehingga hari ini merujuk filem epik itu sebagai filem Malaysia yang paling indah pembikinannya," katanya.

Dalam pada itu, Tiara turut meluahkan rasa teruja apabila mengetahui tayangan PGL di EnfinitiV.Asia itu ditonton dari pelbagai negara sejak hari pertama ditayangkan.

"Sejak filem PGL ditayangkan di EnfinitiV.Asia Jumaat lalu, kami sangat teruja apabila mengetahui ia ditonton dari pelbagai negara luar seperti Jepun, Amerika Syarikat, Sweden, Singapura, New Zealand, Jordon, Kanada, Australia dan Indonesia.

"Alhamdulillah, impian untuk karya kami sampai ke seluruh dunia semakin nyata," katanya lagi.

Imbas kembali, PGL telah ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Venice pada tahun 2004, ia merupakan filem pertama produksi dari Malaysia yang terpilih ke senarai pilihan rasmi tayangan.

PGL juga merupakan filem pertama Malaysia yang telah dihantar untuk Anugerah Akademi tahun 2005 dengan tajuk A Legendary Love dan disenarai pendek antara 50 buah filem dalam kategori Filem Bahasa Asing Terbaik.

Ia turut memenangi pelbagai anugerah di dalam dan di luar negara, termasuk Pengarah Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Rekaan Seni Terbaik, dan Skor Muzik Terbaik di Festival Filem Malaysia 2004.

Tiara Jacquelina yang juga merupakan penerbit dan pelakon utama file mini memenangi trofi Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik ke 50 dan Penerbit Terbaik di Asian Festival of First Films (2005).