Pelakon baru Scha Elinnea mengakui sering mendapat mesej dan foto lucah dari lelaki berbeza-beza yang tidak dikenalinya di Instagram hampir setiap minggu.

Jelas Scha atau nama sebenarnya Natasha Mohamed Mubeen, 21, mesej dan foto lucah itu kebiasaannya datang dari lelaki berstatus suami orang.

"Tidak dinafikan saya kerap dapat gangguan. Boleh katakan setiap minggu saya dapat gambar lucah di Instagram daripada orang yang berkahwin dan ada juga yang masih.

"Ramai lelaki berstatus suami orang pun ajak saya keluar. Tapi buat masa sekarang, saya tak pernah lagi dapat mesej yang melampau sangat. Pernah juga dapat komen yang kata kalau kena rogol, sia-sia sahaja.

"Bila saya tengok mesej macam itu saya akan lebih berhati-hati bila keluar. Saya akan keluar dengan kawan-kawan atau keluarga. Jadi, akan rasa lebih selamat," katanya kepada Gempak.

Bagaimanapun, Scha menganggap tindakan terbabit belum sampai tahap melampau dan sentiasa berhati-hati apabila berada di luar.

Scha ditemui di sidang media memperkenalkan barisan artis di bawah pengurusan Absolut Management di Connexion Conference & Event Centre, Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Selain Scha, antara selebriti bernaung di bawah syarikat yang sama seperti Nadiyah Shahab, Oktovia Manrose, Ikmal Amry bersama tunangnya, Najla, Harris Anuar dan ramai lagi.