Pelakon Shaheizy Sam mengakui sedang dalam usaha untuk memboikot kesemua syarikat atau sebarang entiti yang terlibat dalam pemberian sumbangan kepada ekonomi dan ketenteraan Israel.

Menurut Sam, langkah itu diambil bagi membantu dalam bersolidariti terhadap rakyat Palestin dan Gaza, selain sebagai ‘kecaman’ terhadap perbuatan kejam rejim zionis.

“Buat masa ini saya sedang dalam usaha untuk memboikot sebarang syarikat yang memberikan bantuan kepada rejim zionis secara langsung atau tidak.

“Ada syarikat tak memberi sumbangan kepada Israel tapi mereka membayar caj tertentu kepada ibu syarikat yang kita sendiri tak tahu ke mana duit itu.

“Kalau saya dengar duit itu disalurkan untuk tujuan kebinasaan, saya akan berhenti beli. Saya ada list produk yang perlu dielakkan, yang ada kena mengena dengan kekejaman Israel. Dalam masa sama, saya akan sentiasa kongsi dengan pengikut saya di media sosial,” katanya kepada Gempak.

Sam berkata demikian pada majlis tayangan perdana filem La Luna yang diadakan di ibu kota semalam.

Dalam pada itu, Sam berharap agar masyarakat dapat menyokong barangan buatan tempatan seiring selepas berhasil dengan tindakan memboikot.

“Mungkin kita dulu bangga kalau pakai barangan mewah macam Chanel. Tapi bila saya dengar Chanel baru campak wang AS$1 juta ke sana, saya jadi sakit hati. Saya tak kisah kalau tak pakai barangan mewah, janji saya tahu saya buat benda yang betul dan baik.

“Jadi, saya akan terus sokong barangan buatan Malaysia. Dalam masa sama saya berharap agar selepas mendapat sokongan daripada masyarakat, mereka janganlah kedekut dengan kita pula,” katanya lagi.

BERITA TRENDING: Tarik Laporan Dipukul Suami, Lesti Kejora Kena Boikot: “Lebih Baik Tak Muncul Di TV”​