Pemenang piala Golden Globe, Sharon Stone membongkar kisah lampau yang mengejutkan. Aktres berkaliber itu mendedahkan dirinya tidak dimaklumkan oleh pengarah atau pihak produksi bahawa mereka merakamkan bahagian kemaluannya dalam salah satu babak dalam filem Basic Instinct.

Pengakuan itu ditulis dalam memoir keempat yang disiarkan di Vanity Fair, Stone bercerita tentang pengalamannya terbabit dalam filem erotik yang telah menaikkan namanya di persada seni dunia.

Namun hakikatnya, Basic Instinct yang dirakamkan pada tahun 1992 itu telah meninggalkan 'luka' terhadap dirinya dan menyifatkan telah memberi sebuah pengalaman yang mengerikan.

"Selepas habis penggambaran Basic Instinct, saya diajak menontonnya buat pertama kali. Bukan saya seorang, tapi acara itu turut dihadiri oleh pengarah, tetamu lain termasuk peguam dan pihak agensi.

"Dan pada saat itulah pertama kali saya melihat kemaluan saya dirakam dan ditayangkan di layar!

"Sedangkan, sewaktu penggambaran, mereka hanya mengatakan 'kami tidak nampak apa apa. Anda hanya perlu tanggalkan seluar dalam," katanya mengenang bagaimana dia sangat terkejut dengan apa yang berlaku.

Kerana tidak dapat menanggung malu dan berasa maruahnya tercalar, Stone telah pergi ke projection booth dan menampar pengarah, Paul Verhoeven, pulang dan menghubungi peguamnya, Marty Singer.

Namun setelah menerima nasihat peguam, Stone yang kini berusia 63 tahun mengaku tidak meneruskan hasratnya untuk mengambil tindakan undang undang.

"Kenapa? Kerana hal itu adalah betul di pihak produksi dan pengarah juga karakter yang saya mainkan. Dan pada akhirnya, saya yang telah melakukannya," jelas Stone dalam tulisannya di Vanity Fair.



Verhoeven bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut dengan mengatakan Stone berbohong.

"Dia berbohong. Setiap pelakon tahu apa yang akan mereka lakukan dan apabila dia diminta untuk menanggalkan seluar dalamnya, dia akan tahu apa yang akan dirakamkan oleh kamera," kata Verhoeven pada tahun 2017 silam.

Kredit Foto: BBC