Seperti diketahui umum, penyanyi Shiha Zikir akan mempersembahkan lagu 7 Nasihat nyanyian asal Datuk Seri Siti Nurhaliza bersama Kmy Kmo dan Luca Sickta di Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) tahun ini.

Ketika dihubungi Gempak, Shiha berkongsi sedikit perancangan untuk persembahan di acara berprestij itu.

"Apa yang saya boleh kongsi setakat ini, perancangan persembahan AJL nanti akan menampilkan kombinasi modern dan tradisional, seperti yang kita tahu, lagu 7 Nasihat ini juga menggabungkan dua irama itu.

"Saya teruja dan tak sabar untuk membuat persembahan lagu tersebut kerana saya sangat suka irama tradisional.

"Pada masa yang sama, saya juga patut beri kredit kepada Luca Sickta dan Kmy Kmo, walaupun mereka penyanyi Hip-Hop, tapi masih tak lupa akan elemen muzik tradisional kita," kata penyanyi berbakat ini.

Dalam pada itu, Shiha juga merancang untuk menerapkan apa yang dilakukan ketika menyertai pertandingan Dansa Dan Sing tahun lalu di pentas AJL nanti.

"Insya-Allah, saya akan terapkan juga apa yang saya lakukan ketika menyertai pertandingan Dansa Dan Sing, mungkin saya akan menyanyi sambil menari di AJL nanti, kita nantikan bagaimana," katanya lagi.

Terdahulu, AJL35 telah dijadualkan berlangsung pada 7 Februari 2021, namun ekoran pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia telah ditunda ke satu tarikh baru yang akan diumum kelak.

Apapun, semoga pandemik ini mampu ditangani dengan baik dalam keadaan segera dan selamat berjaya diucapkan kepada semua finalis AJL35!