Laman Utama

Shila Amzah Sah Milik Ubai, Terima Mas Kahwin RM20,000

gempak
Syafiqah Jalal
05/08/2023
02:49 MYT
Sponsor Banner
Shila Amzah Sah Milik Ubai, Terima Mas Kahwin RM20,000
Penyanyi popular, Shila Amzah, 33, selamat dijabkabulkan dengan pempengaruh media sosial, Ubai, 25, di Boathouse Ampang, Kuala Lumpur tepat jam 10.28 pagi.
Pasangan ini dinikahkan oleh bapanya, penyanyi ND Lala dan disaksikan oleh Penolong Pendaftar Perkahwinan Merangkap Imam Satu Masjid Darul Ehsan Taman Tun Abdul Razak Ampang, Ustaz Haji Mohamad Khairi Hussein.
Shila atau nama sebenarnya, Nurshahila Amir Hamzah menerima mas kahwin sebanyak RM20,000 daripada Ubai manakala hantaran dirahsiakan.
Shila berkata, dia berasa syukur dan gembira apabila Ubai yang memegang status sebagai tunang sebelum ini kini sah menjadi suaminya.
"Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi atas kelancaran majlis pernikahan pagi ini. Kami berharap agar pernikahan ini menjadi satu ikatan abadi yang diberkati oleh Allah SWT, insya-Allah.
"Saya berasa sangat lega dan gembira kerana selepas melalui fasa pertunangan pada 27 Mei lalu, hari ini kami berdua disatukan dengan disertai oleh ahli keluarga terdekat dan sahabat yang kami sayangi.
"Harapan saya semoga kami dapat menjalani bahtera perkahwinan ini sebaiknya dan saling sayang menyayangi hingga ke Jannatul Firdaus, mudah mudahan.
"Apa yang paling penting sekarang ini adalah kami dapat menjaga anak (Seth Uwais) dengan penuh kasih sayang," katanya.
Sementara itu, Ubai atau nama sebenarnya, Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli berkata, dia sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai suami dan bapa.
"Insya-Allah saya sudah bersedia dan akan menjadi suami dan ayah yang terbaik untuk Shila dan Seth.
"Doakan semoga ikatan perkahwinan kami terus mekar dan kekal sehingga ke akhir hayat," katanya.
Ditanya mengenai lokasi berbulan madu, Ubai berkata, mereka belum ada sebarang perancangan memandangkan keduanya sibuk dengan kerja.
"Disebabkan kekangan kerja dan menguruskan hal peribadi keluarga, kami belum memilih lokasi berbulan madu. Namun mungkin akan ada percutian pendek dalam negara terlebih dahulu," katanya.
Dalam pada itu, terdapat dua majlis resepsi yang akan diadakan secara sederhana membabitkan ahli keluarga, rakan-rakan artis, rakan kongsi dari pelbagai negara.
Untuk info, pasangan in memilih busana bewarna putih rekaan Zaimi Zulkafli untuk majlis pernikahan sebagai simbolik satu lembaran baharu buat mereka berdua, selain Thalia dipilih sebagai pereka fesven untuk busana malam resepsi.
Dalam masa sama, ANH bertindak sebagai perancang perkahwinan dan LILIT PIPIT selaku rakan kerjasama utama pada majlis pernikahan ini.
Untuk rekod, pasangan in melangsungkan majlis pertunangan pada 27 Mei lalu.
BACA: “Terima Kasih Emak… Sayang Mak Sangat-Sangat” - Al-Fatihah… Ibu Ubai Meninggal Dunia
BACA: [VIDEO] “Kadang-Kadang Sha Hilang Motivasi Untuk…” - Shila Amzah Tetap Semangat Demi Anak​
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live