Selepas tiga hari kepulangan Allahyarham Siti Sarah Raissuddin ke Rahmatullah, Shuib memberitahu dia kini mempersiap dan belajar menerima hakikat untuk menguruskan keluarga dan anak anak tanpa bidadari syurganya.

Menurut Shuib, sepanjang 11 tahun pernikahan, Sarah menguruskan hal rumah dan anak anak mereka iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6.

Namun kini selepas penyanyi itu meninggal dunia pada 9 Ogos lalu, Shuib perlu mengambil alih urusan tersebut.

"Saya rasa banyak sangat yang janggal. Selama ini hal rumah atau anak anak, bibik dan Sarah yang uruskan.

"Sampai nak cari baju anak pun saya terpanggil bibik. Padahal bibik saya pun dah meninggal dunia," kata Shuib kepada media sewaktu sesi bacaan tahlil dan yassin buat Siti Sarah secara maya sebentar tadi.

Bagaimanapun dia bersyukur kerana sejak ketiadaan Sarah, anak anaknya menjadi lebih mudah mendengar cakap.

"Anak anak jadi ikut cakap. Mereka macam faham, sekali saya cakap misalnya solat terus mereka lakukan. Kalau tidak dulu nak suruh mandi pun berjam jam," katanya.

Pelawak itu malah mengaku sempat berfikir bagaimana dia akan menguruskan bayi lelaki yang menjadi hadiah terakhir dari arwah iaitu Ayash Affan. Ayash baru berusia empat hari dan masih berada di hospital.

"Pagi tadi saya bangun, saya termenung kejap, nanti baby sudah keluar (hospital) macam mana ya? Sebab selama ini tiga orang anak kami mak dia yang jaga. Jadi saya termenung kejap.

"Sebenarnya arwah pernah cakap dengan saya, dia tak mahu bersengkang mata bangun tengah malam tukar pampers. Dia minta saya buat.

"Rupa rupanya betul betul dia nak saya jaga seorang diri. Tapi Insya Allah saya ada ramai keluarga belah mentua dan adik beradik yang pasti akan menolong," katanya.

Shuib juga mengatakan sudah banyak pihak yang bermurah hati seperti isteri Shaheizy Sam, Syatilla Melvin untuk membantu pemberian susu ibu atau menjadi ibu susuan buat Ayash Affan. Meski demikian, dia belum bersedia dan mahu meminta nasihat dalam kalangan ustaz mengenai hal ini.

Selain berasa janggal dengan urusan di rumah tanpa arwah, Shuib juga memberitahu dia perlu menyusun semula jadual kerja dan rumah tangga seperti menghantar anak anak ke sekolah.

"Dulu semua arwah buat, jadi sekarang saya kena susun baik baik," katanya lagi.

Terdahulu, Siti Sarah Raissuddin meninggal dunia selepas empat hari bertarung dengan jangkitan COVID 19 pada usia 36 tahun.

Instagram: @shuibsepahtu