Pernah dikenali sebagai Azam Smile, penyanyi yang kini mahu dikenali sebagai Shukri Zainal berharap agar tahun 2021 dapat memberi sinar baru buat dirinya.

Mengakui pernah mengalami kemurungan dan hampir putus asa dengan bidang seni, Shukri Zainal kini muncul dengan single ketiga berjudul Puisi Rindu.

Shukri optimis kali ini kerana Puisi Rindu merupakan hasil ciptaannya sendiri dan merupakan tribute buat penyanyi legenda, Allahyarham Nassier Wahab.

"Saya mula mengenali arwah Nassier Wahab pada tahun 2016 dan diperkenalkan penyanyi Fazli Zainal. Kami boleh serasi dan rapat macam adik beradik.

“Malah arwah sendiri banyak memberi semangat dan galakan kepada saya. Arwah seorang pendengar yang baik dan tak lokek memberi nasihat.

"Tapi Tuhan lebih menyayanginya kerana sudah meninggalkan kita pada Disember 2019. Saya dapat idea menghasilkan alunan lagu ini tanpa lirik.

“Sejurus selepas solat, tiba-tiba ada alunan lembut berlagu dalam hati dan saya cepat-cepat merakamkannya menggunakan teknik ‘humming’.

"Selepas itu saya suarakan kepada Avny (penulis lirik) apa yang terlintas di hati. Lirik lagu ini mengambil masa dua hari untuk disiapkan.

“Lagu ini sebenarnya berkisarkan mengenai kesakitan yang ditanggung arwah semasa hayatnya. Kebetulan masa arwah sakit, saya tahu dan melihat keperitan yang cuba disembunyikan itu," katanya.

Tambah Shukri lagi, penggambaran video muzik single ketiga ini ditaja sepenuhnya oleh Produksi Pure On Vission dengan kerjasama Rekasia Studios dan Align Creative Studios.

"Lebih menyentuh hati, video muzik itu penggambarannya dilakukan di kediaman rasmi arwah di Bukit Raja, Klang. Bekas pembantu peribadi arwah, Aliff juga berlakon sebagai cameo.

“Keadaan semasa pengambaran sangat suram dan sedih bercampur baur kerana keluarga arwah juga turut serta melihat proses pengambaran dari awal hingga akhir.

“Saya sebak setiap kali memandang setiap sudut dalam rumahnya. Terasa seolah olah arwah masih ada bersama," katanya

Lagu Puisi Rindu sudah boleh distrim di semua platform digital terpilih. Video muzik rasminya telah dilancarkan pada 5 Februari lalu di saluran YouTube Kame Music Production.