WATCH
'Si Karatz' guna klac kaki dan gear tangan
Sebuah Yamaha Dragstar XV 650 yang digelar ‘Si Karatz' oleh pemiliknya mempunyai daya tarikan tersendiri.
Beberapa komponen motosikal ini sengaja dikenakan semburan khas Super Karat dan kelihatan seperti dalam keadaan lusuh dan berkarat.

Namun disebalik namanya dan rekaan bentuk Chopper itu, turut terselit unsur seni bina halus di mana bahagian perumah enjin, selain lampu hadapan diukir dengan ukiran besi dan bukannya dilukis. Ya ianya ukiran besi dan jelas boleh dirasai jika dibelai dengan jari.
Satu proses ukiran yang agak lama di mana penulis difahamkan hanya pada bahagian enjin sahaja mengambil masa hampir sebulan.

Modifikasi motosikal tahun 1998 ini ala kadar sahaja, tetapi sudah memadai bagi pemiliknya Pak Tam, 45 dari Johor yang juga ahli Custom Not Criminal (CMC).
Antara modifikasi yang dilakukan adalah tempat duduk binaan khas ala Harley-Davidson (HD), sistem brek HD Springer, hendal khas, ekzos tiga inci binaan khas dan banyak lagi.

Lagi satu keunikannya adalah apabila gaya tunggangan tidak ubah seperti memandu kereta apabila ia menggunakan klac kaki dan gear tangan atau digelar suicide 'gear system’. Pelik dan unik bukan!
Tangki jentera turut dikustomkan dan penutup tangki tembaga berbentuk mahkota digunakan bagi memberikan lebih kelainan pada Si Karatz itu.

Sepasang sport rim dari Full Billet yang digunakan pada jentera berkenaan dan dibaluti tayar Shinko 90/90/21 di hadapan, manakala 170/60/18 di belakang.
Memandangkan motor ini gaya Chopper dan tidak mempunyai penyerap hentak dibahagian belakang maka kawalan keseimbangan jentera dikawal oleh fork hadapan Springer 24 inci.

Enjin bersesaran 650 cc ini tidak banyak diusik komponen dalamannya dan hanya menggunakan karburetor HD HSR 45mm jenama Mikuni.
Jentera binaan One Bikers KL & Awe Garage Pontian, Johor sebenarnya tidak menelan kos yang tinggi. Sebaliknya ukiran dan proses modifikasi mengubah sistem klac serta gear tangan mengambil masa yang lama.
Must-Watch Video