Berita
"Siapa Makan Cili Dia Rasa Pedas" - Siti Sarah Dimaki Hamun Gara-Gara Tegur Peniaga Isu 'Goncang' Buah Dada
Penyanyi Siti Sarah mendedahkan terdapat pihak yang berasa kurang senang dengan tindakannya menegur secara terbuka mengenai teknik pemasaran sesetengah usahawan yang menggunakan cara tidak bermoral baru-baru ini.
Menurut Sarah, individu tersebut mengirimkan mesej secara peribadi di laman sosialnya mendakwa perbuatan Sarah tersebut seolah-olah mahu menutup periuk nasinya.
"Cerita pasal usahawan hari itu, dia masih lagi ada, ingatkan habis dah. Ada usahawan wanita ini, DM (mesej secara peribadi) saya, maki-maki hamun.
"Kononnya, saya nak tutup rezeki dia, tutup periuk nasi dia dengan cakap...(terkedu).
"Saya tak sebut nama dia, saya tak sebut dia, sekarang ini siapa makan cili dia rasa pedas," luahnya menerusi satu entri di Instagram TV miliknya.
Menurut Sarah lagi, apa yang dibuat itu hanyalah satu bentuk pandangan peribadinya sahaja yang juga merupakan seorang usahawan.
"Saya bukan orang yang sempurna pun. Hari-hari saya buat dosa, dalam keadaan macam tu, bangsa Melayu, beragama Islam, buat cara pemasaran begitu, itu pandangan saya.
"Saya hanya nak beritahu yang tak perlu 'goncang' pun, boleh buat duit, itu sahaja.
"Kalau ada yang terasa, saya minta maaf. Dalam keadaan macam ni, saya perlu berkata benar, jika satu hari saya disoal, sekurang-kurangnya saya sudah lakukan sesuatu," katanya.
Terdahulu, Sarah pernah membuat teguran secara terbuka di Instagram miliknya mengenai teknik pemasaran sebahagian usahawan yang sanggup menayangkan imej tidak senonoh untuk melariskan produk.
Lebih mengecewakan, kata Sarah, biarpun tidak bersetuju dengan cara pemasaran tidak bermoral itu, masih ada lagi pihak yang memintanya melakukan reviu produk dengan pendekatan sebegitu.
"Saya tak kisah pun buat reviu produk apa-apa. Tapi bila minta gambar, memang memalukan dan mengaibkan, minta gambar lain, beri lagi yang sama, jenis tak faham.
"Sanggup eh seorang perempuan mengaibkan perempuan lain untuk mencari rezeki?
"Saya kalau dapat duit daripada sesuatu yang saya buat, awak kena faham yang saya akan bagi makan anak saya, dan saya tak nak anak saya makan.. (terkedu)...masya-Allah," katanya yang kesal dengan sikap segelintir usahawan.
Sebelum ini, Sarah yang juga merupakan usahawan kosmetik dan tudung berjaya membuktikan bahawa sebagai seorang usahawan, dia juga boleh meraih pendapatan beratus ribu tanpa perlu mengaibkan mana-mana pihak dengan melakukan pendekatan pemasaran yang tidak bermoral.
Must-Watch Video