Laman Utama
Siapa Sangka Anak Jati Kampung Kelubi, Perlis Ini Atlet Pertama Malaysia Raih Ganjaran RM2 Juta...Steady Latif Romly!
Siapa sangka, anak jati Kampung Paya Kelubi, Perlis, Abdul Latif Romly merupakan atlet Malaysia pertama Malaysia yang membawa pulang ganjaran berjumlah RM2 juta!
Berdasarkan imbuhan Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam), pemenang emas Sukan Olimpik atau Paralimpik bakal menerima imbuhan RM1 juta manakala perak RM300,000 dan gangsa RM100,000.
Justeru selepas meraih emas dalam dua edisi sukan Paralimpik, Abdul Latif merangkul jumlah keseluruhan ganjaran sebanyak RM2 juta.
Pada 2016, Abdul Latif menghadiahkan pingat emas di Sukan Paralimpik Rio dalam acara lompat jauh kategori T20 (kurang upaya intelektual).
Ketika itu dia mencipta rekod lompatan sejauh 7.60 meter (m) sekaligus mencipta rekod baharu dunia.
Sabtu lalu, Abdul Latif yang kini berusia 24 tahun mempertahankan pingat emas di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 melalui lompatan sejauh 7.45m.
Kemenangannya itu menutup tirai Sukan Paralimpik 2020, sekali gus melengkapkan sasaran kontinjen negara pada temasya di Tokyo itu.
Secara keseluruhan dalam edisi Sukan Paralimpik Tokyo 2020 yang melabuh pada Ahad lalu, Malaysia merangkul tiga pingat emas dan dua perak.
Menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM), RM3.6 juta akan dibayar kepada lima atlet yang memenangi pingat.
Abdul Latif Romly (olahraga), Cheah Liek Hou (badminton) dan Bonnie Bunyau Gustin (powerlifting) akan menerima RM1 juta selaku pemenang emas, manakala Jong Yee Khie (powerlifting) serta Chew Wei Lun (boccia) meraih RM300,000.
Mereka turut menerima Skim Imbuhan Tetap Olimpik (SITO) yang diberikan secara bulanan untuk sepanjang hayat dengan pemenang emas meraih RM5,000, perak RM3,000 dan gangsa RM2,000.
China mengekalkan status sebagai gergasi dunia apabila muncul juara keseluruhan dengan 96 emas, jauh meninggalkan Great Britain di tangga kedua (38) dan Amerika Syarikat ketiga (37).
Sumber: SINAR HARIAN/UTUSAN
Foto: BERNAMA
Must-Watch Video