Syarikat penerbangan Air New Zealand bakal melakukan ‘undang-undang’ baru apabila meminta para penumpang menimbang berat terlebih dahulu sebelum menaiki penerbangan antarabangsa mereka.

Proses menimbang berat dilakukan sebagai salah satu tinjauan untuk memastikan berat purata para penumpang yang menaiki pesawat bermula 2 Julai depan.



Antara penumpang yang akan terbabit dengan tinjauan tersebut adalah mereka yang menaiki penerbangan dari lapangan terbang di Auckland menuju Lapangan Terbang JFK, New York.

Berat penumpang akan direkodkan secara rahsia dan data yang diperoleh juga tidak akan didedahkan, lapor CNN.

Para penumpang akan diminta berdiri di atas penimbang digital sebelum menaiki penerbangan, Air New Zealand bagaimanapun tidak memaksa penumpang kecuali mereka ingin melakukannya secara sukarela.

“Kami tahu menimbang berat badan boleh menjadi sesuatu yang sensitif. Pihak kami akan pastikan berat penumpang tidak akan dilihat. Bukan hanya penumpang, kami juga tidak akan mengetahui berat seseorang,” tulis kenyataan yang dikeluarkan kepada media.

Ini bukan pertama kali Air New Zealand atau Air NZ meminta penumpang menimbang berat sebelum menaiki pesawat.

Para penumpang penerbangan domestik pernah melakukan tinjauan sama pada tahun 2021.