Bagi memperluaskan edisi Siri Hitam, Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) memperkenalkan Nissan Almera Siri Hitam baharu buat pasaran tempatan.
Apa yang penting, Nissan Almera Siri Hitam tampak lebih bergaya apabila dilengkapi dengan jeriji hadapan hitam, penutup cermin tepi hitam, spoiler hitam dan rim aloi Hitam berjejari-Y bersaiz 15 inci.

Lebih menarik lagi apabila penampilannya didatangkan bersama Aerokit serba baharu Titanum Gelap yang direka khas oleh Tomei Powered Inc Co Ltd, satu jenama Jepun yang memang terkenal dengan teknologi dan prestasinya dalam sukan permotoran.
Selain luaran, bahagian dalam dipertingkatkan menerusi tempat duduk kulit dengan kemasan titanum gelap rekaan terbaru.

Sistem hiburan juga hadir paparan skrin audio Clarion 6.75 inci dengan kamera pandangan belakang yang boleh disambung Apple CarPlay dan Android Auto.
Nissan Almera Siri Hitam dilengkapi dengan filem penghalangan haba Solar Gard dan Perakam Video Pemanduan (DVR) dengan sudut luas 150 darjah yang memberi ketenangan minda dan rasa selamat.

Bahagian rangkaian kuasanya, ia masih mengekalkan enjin 1.5 liter empat silinder HR15DE dengan Sistem Continuously Variable-valve Timing Control (CVTC) yang menawarkan pecutan serta penjimatan bahan api dengan 14.9km/L.
Pada masa sama, ia dilengkapi dengan ciri Kekunci Pintar (i-Key) dengan Sistem Kemasukan Tanpa Kunci, Butang Penghidup Enjin dan Kawalan Suhu Automatik.

Ia ditawarkan lima warna iaitu hitam, putih, perak, emas dan hijau yang eksklusif untuk varian itu Siri Hitam.
Nissan Almera Siri Hitam boleh didapati dalam varian E dan VL yang masing-masing dijual pada RM69,800 serta RM79,800 atas jalan tidak termasuk insurans.