Laman Utama
Siti Nurhaliza Izinkan Peniaga Guna Gambar & Namanya, Tapi Dengan Satu Syarat…
Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza tidak mempunyai sebarang masalah jika seseorang peniaga mahu menggunakan gambar atau namanya sebagai salah satu cara pemasaran bagi penjualan produk masing-masing.
Namun, menurut Siti, beliau hanya membenarkan gambar dan namanya digunakan jika beliau benar-benar pernah menggunakan produk yang dipasarkan itu sebelum ini.
“Kalau dia cari rezeki yang halal, tidak salah guna gambar saya. Maknanya memang saya beli dekat dia, jadi dia nak claim saya pernah beli, memang betul saya beli… saya izinkan.
“Tapi kalau bukan saya beli, bukan saya pegang produk dia, bukan saya guna produk berkenaan, saya sangat tak setuju. Lebih-lebih lagi apabila mereka menyunting wajah saya dan superimposed dengan produk lain.
“Saya berharap pengguna di luar sana juga pun perlu bijak untuk memilih,” katanya kepada Gempak ketika ditemui pada acara Townhall Ikon Nasional Bersama Datuk Seri Siti Nurhaliza di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor semalam.
Siti mengulas mengenai penggunaan nama dan wajahnya dalam kalangan peniaga sejak kebelakangan ini.
Begitupun, Siti tetap mempunyai cara tersendiri dalam membantu peniaga-peniaga, terutama yang berjualan makanan.
“Tapi macam makanan ke saya memang promote. Mana saya beli dan makan memang saya tunjuk.
“Peminat pun tahu apa produk yang saya makan dan saya bantu bisnes mereka. Tapi kalau produk-produk yang lain tu kena hati-hati lah,” katanya.
Perkongsian
Berbicara pula mengenai penglibatan dalam majlis yang dihadiri, Siti berkata, beliau berasa sangat seronok kerana dapat berkongsi ilmu serta menyuntik semangat kepada para pelajar yang masih belum kenal dunia sebenar.
“Saya melihat ini sebagai satu pentas untuk berkongsi pengalaman dan ilmu dengan mahasiswa di universiti supaya mereka boleh mendapat suntikan semangat bagi melayari hidup pada masa akan datang.
“Sekarang ini mereka masih belum betul-betul keluar ke dunia realiti. Jadi, saya kongsi pengalaman saya dengan mereka.
“Dulu pun saya seorang pelajhar, dapat cabaran lebih awal. Saya bergelar anak seni sejak usia saya 16 tahun sehinggalah sekarang saya sudah 44 tahun. Saya berkongsi apa yang boleh dijadikan inspirasi. Sebagai manusia, selagi ada ilmu, support system yang bagus dan kesungguhan, kita boleh terus mencapai kejayaan,” tutupnya.
Must-Watch Video