Sky Taizo Okumura Nak Sambung Belajar Ke Luar Negara - "Saya Perlu Jadi Seperti Ibu"
Sky Taizo Okumura, anak kepada usahawan dan pempengaruh media sosial, Ridzuan Ridzokumura, menyatakan impiannya untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara dalam beberapa tahun akan datang.
Namun, hasrat itu tampaknya tidak sepenuhnya mendapat sokongan daripada Ridzuan, yang masih bersedih atas pemergian isterinya, Akiko Okumura.
"Awak tak boleh sambung belajar di luar negara, awak kena tinggal di Malaysia.
"Kalau awak pergi, awak tak kesiankan daddy?
"Daddy baru saja kehilangan mommy, kalau awak pergi, siapa yang akan temankan daddy?" ujar Ridzuan, meluahkan kegusarannya.
Walaupun berdepan tentangan, Sky tetap berusaha menjelaskan keinginannya, yang bukan sekadar mengejar cita-cita tetapi juga untuk belajar berdikari, seperti ibunya.
"Saya nak sambung belajar ke luar negara dan saya yakin dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi kita mampu capai impian itu.
"Saya perlu bekerja keras dan teruskan pembelajaran. Saya perlu jadi seperti ibu. Sebelum ini, dia yang lakukan segalanya sedangkan saya hanya tahu lepak.
"Sekarang, saya kena buat semuanya sendiri, cuba masak sendiri… memang sudah tiba masanya," katanya.
Minggu lalu, pada hari Jumaat, Ridzuan berkongsi berita duka menerusi Instagram mengenai pemergian isterinya.
Ridzuan dan Akiko, wanita kelahiran Jepun, telah mendirikan rumah tangga pada Februari 2009. Hasil perkahwinan mereka, pasangan itu dikurniakan seorang anak lelaki, Sky Taizo Okumura, yang kini berusia 13 tahun.