Sofyank Bangga Marvel Studio Lamar Untuk Kolaborasi; “Ini Adalah Hadiah Hasil Penat Lelah…”
Pempengaruh media sosial, Sofyank melahirkan rasa syukur apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Gempak Of Fame di Gempak Most Awards 2022 (GMWA 2022) malam tadi.
Kata Sofyank, dia menganggap kemenangan tersebut sebagai satu penghargaan buat dirinya dan pasukan selain bersyukur apabila hasil karya mereka diangkat.
Kemenangan satu penghargaan
“Saya tak rasa ini satu kemenangan, tetapi saya lebih menganggap kepada satu penghargaan. Perasaan sudah pasti sangat seronok dalam masa sama terharu.
“Apabila dipilih oleh pihak Astro dan Astro Gempak, saya sangat berterima kasih. Kerana dengan anugerah ini, setidaknya ada pihak yang nampak video dan karya saya ini dan layak diangkat untuk menerima penghargaan besar sebegini,” katanya.
Sofyank berkata demikian ketika ditemui pada sidang media GMWA 2022 yang berlangsung malam tadi.
Marvel lamar bekerjasama
Dalam masa sama, Sofyank menjelaskan tujuan dia menghasilkan video dengan suntingan kesan visual (VFX) adalah untuk menyajikan konten menarik kepada umum selain ingin menarik minat pihak atau syarikat luar bekerjasama dengannya.
“Bila menang anugerah dan mungkin orang kata saya selepas ini akan lebih dikenali, tapi sebenarnya, saya masih sama.
“Saya dan team masih sama. Daripada zaman awal buat video sampai sekarang team saya hanya kecil dan niat kami satu, untuk sajikan konten best bagi orang tengok.
“Namun dalam masa kami ada matlamat, nak tarik perhatian sesetengah pihak dan alhamdulillah yang terbaharu pihak Marvel Malaysia, mereka lamar team saya untuk collaboration dengan mereka.
“Saya kira ini adalah hadiah daripada hasil penat lelah kami. Dapat offer macam ini sebenarnya buat kami untuk ada lagu tujuan yang lebih besar untuk dikejar. Marvel Malaysia ajak kolaborasi dan hasilkan banyak lagi video dengan mereka.
“Apa pun ada satu lagi projek terbesar yang juga melibatkan satu jenama terkenal antarabangsa pada bulan April nanti. Tapi saya tak boleh nak bagi tahu sekarang. Ia adalah projek saya dan team yang paling besar setakat ini,” tambahnya.
Impian miliki rumah produksi sendiri
Ditanya mengenai impiannya dalam bidang tersebut, pemuda berusia 27 tahun itu menjelaskan dia memasang cita-cita untuk memiliki rumah produksi sendiri yang dilengkapi peralatan untuk menyunting video yang canggih.
“Impian dan goal utama saya adalah membuka satu syarikat production sendiri yang boleh fokus hasilkan konten-konten yang lebih menarik dan hebat.
“Saya nak ada staff yang ramai, alatan editing yang canggih macam syarikat di luar negara. Goal itu masih jauh sebab ia melibatkan kos yang sangat tinggi.
“Selain kos, tambah ilmu untuk edit juga antara goal saya. Ada yang kata editing skill saya mungkin hebat, tapi pada saya masih kurang hebat berbanding dengan orang luar negara, lima tahun akan datang saya harap capai goal saya,” ujarnya lagi.