BERITA
STR Fasa 2 Disalurkan Isnin Depan
Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 akan disalurkan kepada hampir sembilan juta penerima yang layak bermula Isnin depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata inisiatif tersebut melibatkan peruntukan sebanyak RM1.7 bilion, meningkat berbanding RM1.5 bilion pada tahun lalu.
"Sebanyak 60 peratus rakyat dewasa Malaysia bakal menerima bantuan sehingga RM650," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau yang juga Menteri Kewangan memaklumkan bahawa penerima sedia ada dan baharu yang berdaftar dalam pangkalan data rasmi akan menerima pembayaran melalui pengkreditan ke dalam akaun bank atau secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) mengikut kategori kelayakan masing-masing.
"Kerajaan kekal peka terhadap keperluan rakyat dalam mengharungi beban kos sara hidup, lebih-lebih lagi menjelang Hari Raya Aidilfitri.
"Peningkatan peruntukan STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) pada tahun 2025 sebanyak RM3 bilion atau 30 peratus kepada RM13 bilion adalah ikhtiar kerajaan untuk meningkatkan martabat hidup rakyat secara saksama," jelas Anwar.
Sumber: Sinar Harian
Must-Watch Video