Tanda tanya mengenai hubungan rumah tangga pelakon Irish Bella dengan Ammar Zoni setelah suaminya dibebaskan dari penjara sekitar sebulan lalu terjawab.

Irish sudah rasmi memfailkan perceraian daripada Ammar yang sudah dua kali ditahan pihak polis kerana kes dadah.

Ammar pertama kali ditangkap dan dimasukkan penjara kerana dadah jenis syabu pada tahun 2017.

Dia kemudian ditangkap dan dipenjarakan atas kesalahan sama pada Mac lalu dan baru dibebaskan.

Tanpa mengiyakan telahan masyarakat dia meminta cerai kerana tidak tahan dengan kes dadah Ammar, bintang Jakarta Love Story itu tidak menuntut sebarang harta sepencarian bersama Ammar yang dinikahi pada 2019 itu.

“Anak guam saya tidak menuntut sebarang harta,” ujar peguam Irish seperti dilaporkan Kompas.

Irish, 27, sebaliknya hanya mahu memiliki hak asuh dua anak iaitu Air Rumi Akbar dan Amala Puti Sabai Akbar.

Dia juga akan menerima nafkah sesuai dengan kemampuan Ammar.

“Kalau soal nafkah nanti dibincangkan dengan Ammar dan dia mahu hak asuh anak,” kata peguam itu lagi.

Terdahulu Irish memfailkan perceraian daripada Ammar atas alasan hubungan rumah tangga mereka sudah tidak lagi harmoni.