Berita
"Suami Pun Lagi Suka Saya Duduk Rumah" - Falisha Crossley Akui Dah Selesa Jadi Suri Rumah Sepenuh Masa
Pelakon Falisha Crossley mengakui semakin mula selesa menjalani kehidupan baru sebagai suri rumah sepenuh masa selepas mendirikan rumah tangga tiga tahun lalu.
Begitupun, pemenang Pelakon Baru Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia Ke-28 itu memberitahu, sehingga kini dia masih lagi menerima tawaran lakonan walaupun sudah lama tidak ke set penggambaran sejak mengandung anak pertama.
"Saya dah makin membiasakan diri jadi suri rumah. Kadang-kadang itu kalau tengok televisyen, terdetik juga rindu nak berlakon. Ada juga yang tertanya-tanya saya masih berlakon lagi ke tak sebab lama tak nampak.
"Bahkan, tawaran ada juga yang datang. Orang masih beritahu ada watak nak berikan kepada saya. Tahun ni pun ada lagi, cuma, saya cakap tak boleh nak buat sebab mengandung lagi," katanya kepada Astro Gempak.
Menurut pelakon Dia Semanis Honey itu, suaminya juga lebih suka sekiranya dia memberikan fokus kepada keluarga di rumah.
"Di rumah hanya saya, suami dan anak sahaja. Saya tidak ada bibik ke pembantu. Jadi, sayalah yang akan uruskan semuanya. Tak tahulah kalau nak berlakon suami beri ke tak.
"Tapi sebenarnya, suami lagi suka saya duduk di rumah jaga anak memandangkan di luar sana pun macam-macam kes berlaku bila hantar anak kepada pengasuh," katanya.
Pada masa sama menurut Falisha, dia kini turut mengusahakan perniagaan daging sejuk beku bersama suaminya.
"Kami buat perniagaan menjual daging sejuk beku dari New Zealand. Kalau ada tempahan, sayalah yang akan uruskan. Itulah kerja saya sambil duduk di rumah," katanya.
Sebelum ini, Falisha berkongsi berita mengenai kehamilan keduanya yang kini mencecah usia enam bulan.
Pelakon filem Mat Moto itu berkahwin dengan juruterbang, Mohamad Rafiq Mohd Arif pada Januari 2017.
Hasil perkongsian hidup, pasangan itu dikurniakan anak sulung, Nur Raysha Mikhayla yang kini menginjak usia tiga tahun.
Must-Watch Video