ANTARABANGSA
Subaru STI S209 masuk Amerika Syarikat hanya 209 unit sahaja
Subaru Tecnica International (STI), anak syarikat milik penuh Subaru Corporation, buat kali pertama menjual barisan produk STI bagi pasaran Amerika Syarikat menerusi model S209.
Seperti biasa, S209 ini adalah model edisi terhad dan bagi pasaran Amerika Syarikat ia turut dijual hanya sebanyak 209 unit sahaja.

Sebagai produk S-Line, STI S209 ini menerima beberapa peningkatkan dari segi kuasa, pengendalian dan aerodinamik.
Sebelum ini, S209 hanya dibina untuk pasaran Jepun sahaja. Jentera yang diimport dari kilang Subaru di Kiryu Jepun itu turut memenuhi peraturan bagi kenderaan di Amerika Syarikat.

Di bawah bonetnya dijana enjin boxer 2.5 liter turbocharged yang mengekstrak 341hp dengan tork setinggi 447Nm. Turbocharged pada jentera itu dibina oleh HKS yang mempunyai tekanan boost maksimum 18.9 psi, berbanding 16.2 psi bagi WRX STI.
Bagi memberi pemanduan yang lebih menyeronokkan, S209 secara eksklusif dilengkapi dengan transmisi manual enam kelajuan nisbah pendek dan pada masa sama dilengkapi pacuan semua roda Subaru Symmetrical sepenuh masa dengan LSD di depan serta belakang.

Sistem SI-Drive yang menawarkan tiga mod pemanduan seperti Intelligent, Sport dan Sport Sharp. Mod Sport sesuai untuk pemanduan di litar, manakala Sport Sharp untuk lebih agresif.
Selain enjin boxer yang dinaik taraf, ia didatangkan intercooler yang mempunyai sistem semburan air yang boleh beroperasi secara manual menerusi padel pada roda stereng.

Pada bahagian luaran, STI S209 didatangkan kit badan lebar dengan penambahan 1.7 inci berbanding WRX STI standard. Berikutan itu, kedua-dua bahagian hadapan dan belakang lebih lebar 0.6 inci, selain padanan rim tempaan BBS bersaiz 19 inci dengan balutan tayar Dunlop SP Sport Maxx.
Ia juga diperkemaskan dengan kit aero termasuk spoiler hadapan dan belakang, bampar serta bumbung dibina material gentian karbon.
Sistem brek kini menggunakan jenama Brembo yang mempunyai kaliper enam omboh di hadapan, manakala dua omboh untuk belakang.

Suspensi dibangunkan oleh peredam Bilstein, spring lebih keras dan palang penstabil bersaiz 20mm di belakang. STI S209 ditawarkan dengan dua warna biru dan kelabu.
Harganya dijangka diumumkan pada pelancarannya dijangka November ini.

Must-Watch Video