Bintang Gegar Vaganza lapan (GV8) Upiak Isil, 35, membuat pendedahan mengejut apabila dia sudah dua bulan tidak menghubungi keluarganya.

Menurut Upiak yang terkenal dengan lagu lagu Tak Tun Tuang itu, faktor utama dia berbuat demikian adalah untuk mengasing diri buat sementara waktu.

Jelasnya, dia lebih selesa mengasingkan diri supaya lebih fokus dalam kerjanya selain mahu memikirkan apa yang diinginkannya dalam kehidupan.

“Sudah masuk dua bulan saya tidak menghubungi keluarga kerana saya nak cari ketenangan.

“Saya memang macam itu, kalau banyak berfikir saya akan buat lagu dan asingkan diri.

“Tetapi saya tahu keluarga sentiasa menyokong saya dalam apa yang saya ceburi,” katanya.

Tambahnya, meskipun gemar bersendirian, Upiak menegaskan dia masih sering menghubungi adiknya dan selalu mengirimkan duit belanja buat ibunya.

“Kalau saya tak hubungi ibu, saya akan hubungi adik.

“Saya juga ada kirimkan wang kepada mereka untuk kegunaan barang keperluan,” katanya.

Upiak berkata demikian ketika konsert minggu pertama GV8 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Ahad lalu.

BACA: Tiada Penyingkiran Konsert Pertama GV8! Aliff Aziz Raih Markah Tertinggi Manakala Datuk Fazley….

Sekadar info, juara GV8 akan membawa pulang wang tunai bernilai RM100,000 serta trofi manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing membawa pulang RM50,000 dan RM30,000 termasuk trofi.

Untuk pemenang tempat keempat, kelima dan keenam pula masing-masing akan menerima hadiah berupa wang tunai bernilai RM20,000, RM15,000 dan RM10,000 serta trofi.

Penerbitan GV8 turut disokong oleh Farm Fresh yang hadir selaku Penaja Utama dengan kerjasama Digi selaku Telco Rasmi.

Manakala Adabi dan CUCKOO turut menghulurkan sokongan selaku penaja bersama.