Model tersohor, Bella Hadid mengakui yang dia sudah berhenti minum minuman keras selama enam bulan selepas melalui fasa di mana dia ‘gagal’ mengawal dirinya.

“Saya memang minum agak banyak. Saya suka sangat minuman alkohol sehinggakan sampai ke satu tahap, saya mula tidak keluar rumah pada waktu malam. Saya bimbang tak dapat kawal diri,” katanya kepada majalah InStyle.

Berikutan dengan hal itu, Bella, 25, berkata, dia mula rasa berat untuk minum apabila doktor memberitahu bahawa alkohol telah mula memberi kesan kepada otaknya.

Tambah Bella, dia ingin kekal tidak mabuk pada masa akan datang.

“Saya tidak rasa ada keperluan untuk minum lagi kerana saya tahu bagaimana ia memberi kesan kepada saya pada pukul 3 pagi, bila saya bangun dengan rasa resah melampau memikirkan hal-hal lampau ketika di sekolah tinggi.

“Ia memberikan kesan yang tidak berkesudahan, seperti kesakitan, tertekan terhadap beberapa cawan alkohol yang sebenarnya tidak beri apa-apa impak,” katanya lagi.

Awal bulan ini, Bella turut membahaskan tentang pergelutan masalah mentalnya yang ‘menyakitkan’ menerusi temu bual dengan Majalah WSJ.

Model Victoria's Secret itu mengakui bahawa dia berada di tempat yang aneh secara mental sehingga mencabar baginya untuk keluar dari rumah dan berfesyen, terutamanya dengan kebimbangannya terhadap paparazi.

Sebelum ini juga, Bella pernah berkongsi tentang masalah depresi serta keresahan melampau yang dialaminya menerusi Instagram.

"Kebimbangan sosial yang saya alami datang kepada saya perlahan-lahan ketika saya melewati usia 20-an. Susah untuk saya keluar rumah tanpa minum minuman alkohol bagi menenangkan jiwa, yang menjadikan saya tidak mahu keluar dan hanya berhibernisasi apabila tidak bekerja.

“Menjalani kehidupan yang sentiasa menolak rejim sosial dan bekerja 13 jam sehari, setiap hari, saya sedar yang ia bukanlah kehidupan yang mapan untuk saya,” katanya.



***GEMPAK MOST WANTED datang lagi. Jangan lupa undi artis kesayangan anda dengan klik pada banner atau link ini.