Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji keseluruhan jalan cerita filem Anwar: The Untold Story lakonan Farid Kamil.

Menurut beliau, konteks yang diketengahkan dalam filem itu adalah benar, namun agak sukar bagi pihak produksi sekiranya mahu merumuskan keseluruhan kisah yang berlaku kepada dirinya ketika mula menjawat jawatan Menteri Kewangan pada tahun 1991.

“Saya menonton filem ini buat kali pertama, tapi selebihnya saya serahkan hak filem ini kepada penerbit.

“Filem ini bebas, kreatif dan jalan ceritanya juga ditemubual ramai orang. Sinematografi filem ini juga sangat baik.

“Peristiwa puluhan tahun mahu disingkatkan dalam satu jam lebih sudah tentunya tidak mudah. Ia hanya boleh dilakukan dengan kecekalan, kepintaran dan pengalaman pihak produksi,” katanya.

Anwar berkata demikian pada sidang media selepas tayangan perdana filem Anwar: The Untold Story di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur pada Isnin.

Dalam pada itu, Anwar juga menjelaskan, beliau bersifat terbuka dengan memberi ruang kepada penerbit dan pengarah filem tersebut untuk menggarap jalan cerita supaya lebih menarik.

“Disebabkan ini adalah hasil seni, maka daya cipta dan kreativiti itu harus ada. Kita berikan ruang agak bebas (terhadap filem).

“Kerana saya percaya dalam pembikinan hasil kreatif harus diberikan sedikit ruang kebebasan.

“Prinsip seni ini harus lebih bebas untuk memastikan kreativiti seni itu tercungkil. Sebagai orang yang diceriterakan, tentunya saya tersentuh,” jelasnya.

Terdahulu, Anwar hadir ke sesi tayangan khas filem Anwar: The Untold Story bersama isterinya, Wan Azizah Wan Ismail.

Anwar: The Untold Story merupakan naskah yang mengangkat kisah perjuangannya dalam arena politik tanah air.

Runut bunyi untuk filem Anwar: The Untold Story berjudul Menjaga Cintamu hasil ciptaan Andi Rianto dan lirik nukilan Sekar Ayu Asmara ini dinyanyikan oleh penyanyi kesayangan negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Filem terbitan Bianglala Entertainment yang menelan belanja sebanyak RM10 juta itu dihadiri beberapa tetamu kehormat, tokoh politik, penggiat industri kreatif serta personaliti terkenal tempatan.

Filem sentuhan pengarah Indonesia Viva Westi itu dibintangi pelakon terkenal seperti Farid Kamil Zahari, yang memegang watak utama sebagai Anwar, Hasnul Rahmat (Tun Dr Mahathir Mohamad), pelakon Indonesia, Acha Septriasa (Wan Azizah), Piet Pagau dan Dewi Irawan.

Filem itu digarap berdasarkan kisah sebenar yang berlaku dalam sebahagian hidup Anwar dengan penggambarannya dijalankan di Malaysia dan Indonesia.

Filem Anwar: The Untold Story terbitan Yusrych Global Sdn Bhd dan edaran DMY Creation akan ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 18 Mei ini.