Penyanyi Nourul Depp akui sudah lama merancang untuk berpindah ke luar negara bersama suami dan anak-anaknya berpindah ke luar negara.

Malah, ibu kepada empat orang anak ini juga ada berkongsi foto perancangannya untuk meninggalkan negara dalam masa terdekat menerusi Instagram baru-baru ini.

A post shared by N O U R U L (@nouruldepp)


Ketika dihubungi Gempak, Nourul mengatakan dia suka menerokai pelbagai perkara baru ni negara lain.

"Sebenarnya kami sudah lama merancang untuk pindah ke luar negara, nak pindah tahun lepas tapi disebabkan pandemik, kami terpaksa tangguh. Saya sebenarnya suka menerokai pelbagai perkara baru di negara luar.

"Kami mula terfikir sejak tahun 2007 lagi, mungkin sekarang tiba masa yang sesuai, negara yang kami ingin pindah ini juga sudah menerima orang masuk dengan syarat yang ditetapkan.

"Suami saya pun sedang uruskan segala proses untuk ke negara berkenaan, setakat ini semuanya baik-baik sahaja," katanya

Bagaimanapun, Nourul masih enggan berkongsi secara spesifik mengenai negara yang dimaksudkan itu.

"Saya masih belum mahu kongsi lagi mengenai negara tersebut setakat ini, tak lah jauh mana, masih dalam lingkungan negara Asia," katanya lagi.

Kata penyanyi lagu Kerana Terluka ini, ahli keluarganya juga tidak memberi sebarang tentangan terhadap perancangan itu.

"Saya dah takda ibu bapa, anggota keluarga lain okay sahaja cuma mungkin sedih sebab jarang berjumpa nanti," tambahnya.

Dalam pada itu, Nourul juga menegaskan dia tidak merajuk dengan mana-mana pihak dan menyerahkan segalanya kepada Allah SWT.

"Saya pindah ke luar negara bukan sebab merajuk dengan mana-mana pihak, saya bersedia, perniagaan pun boleh dilakukan secara online di sana.

"Meskipun saya rancang untuk berpindah hingga ke hari tua, namun ada juga waktu yang saya akan balik ke Malaysia.

"Apapun, kita hanya mampu merancang, selebihnya saya yakin dengan kuasa Allah, Dia lah yang menetapkan segalanya untuk kita," tuturnya menutup bicara.