Penyanyi Sufian Suhaimi memberitahu dia merancang untuk mencari rumah di kawasan Semenyih, Selangor agar membolehkan dirinya terus sentiasa dekat dengan anak angkatnya, Faeq Razeeq.

Sufian, 27, berkata, buat masa ini, dia berulang-alik setiap minggu dari kediamannya yang terletak di Damansara, Petaling Jaya, Selangor untuk meluangkan masa dengan Faeq.

"Faeq tidak duduk dengan saya. Dia duduk dengan keluarga dia. Jauh sebenarnya, dalam sejam juga perjalanan dari Damansara ke Semenyih.

"Tengoklah nanti kalau ada rezeki mungkin boleh cari rumah di sana, dekat sikit.

"Bagaimanapun, kami kerap berjumpa. Saya akan jumpa Faeq setiap minggu. Dapatlah melepaskan rindu kepada seseorang tanpa rasa bersalah," katanya kepada Gempak.

Menurut pelantun lagu Di Matamu itu, dia belum bersedia lagi untuk menjaga anak angkat sepenuhnya secara sendiri.

"Saya rasa saya belum ada kemampuan untuk buat semua itu (jaga sendiri sepenuhnya).

"Saya pun duduk seorang sahaja di rumah bersama kucing," selorohnya.

Pada September lalu, Sufian mendedahkan bahawa dia membuat keputusan mengambil anak angkat, Faeq Razeeq yang berusia setahun lima bulan.

Kanak-kanak tersebut merupakan anak kepada kenalan lamanya.

BACA: “Welcome To My Life, Ayah Yan Sayang Faeq Tau” - Sufian Suhaimi Ambil Anak Angkat