Sempat menangguh keraian Konsert 4 Dekad Slank di Zepp Kuala Lumpur yang sepatutnya berlangsung pada 19 November lalu, itu bukan bererti menjadi sebuah ‘kematian’ buat kumpulan rock gergasi Indonesia tersebut bertemu peminatnya di Malaysia.

Seperti dijanjikan penganjur, TBRW Global Sdn Bhd, Slank akan bertemu para Slankers pada 25 Disember ini dengan misi yang sama iaitu mengisi dahaga peminat yang sudah lama tidak bertatap mata sekaligus melihat aksi panggung mereka.

Malah penundaan tanggal konsert kepada 25 Disember juga membuatkan kugiran ini mempunyai lebih masa untuk melakukan persiapan demi memberi persembahan terbaik saat konsert bermakna di ibu kota beberapa hari lagi.

Apa lagi Konsert 4 Dekad Slank adalah sebuah keraian perjalanan seni mereka selama 40 tahun.

Dan bayangkan dengan 40 tahun pengalaman bersama segudang hit sejak tahun 1990, Slank masih berdiri kukuh dalam belantika muzik Indonesia terutamanya.

“Tak pernah lelah dan kami akan terus berkarya. Malah sekarang juga lagi produksi album baharu,” begitu kata vokalisnya, Kaka dalam pertemuan secara virtual sebelum ini.

Terus bersemangat dan tidak akan berhenti bermuzik, Slank menjanjikan persembahan dan pemilihan lagu yang tidak mengecewakan peminat. Pastinya lagu lagu seperti I Miss You But I Hate You dan Tak Bisa masuk senarai.

Tidak cukup dengan untaian hit dan kekuatan mereka, Slank mahu meraikan 40 tahun kelangsungan muzik dengan berkolaborasi di pentas bersama Ratu Rock Negara, Ella.

“Kami peminat Ella dan kami yang meminta untuk berduet sama beliau. Nantikan kolaborasi kami buat kalian semua,” tambah Kaka lagi.

Untuk itu, jika ada yang terlepas membeli tiket, sebarang pembelian tiket boleh dibuat di https://www.ticket2u.com.my.

Harga tiket bermula dari harga (pembelian awal) kategori 4 (RM 298), kategori 3 (RM 398), kategori 2 (RM 198) dan kategori 1 (RM 238) manakala harga biasa kategori 4 (RM 318), kategori 3 (RM 418), kategori 2 (RM 218) dan kategori 1 (RM258)