Suka Hati Guna Lampu Strob, Polis Buru Pemilik Mercedes-Benz!
Sejak kelmarin, kecoh di media sosial apabila tersebarnya rakaman video seorang ‘Insta famous’ menggunakan lampu strob ketika melalui kesesakan trafik.
Tindakan tersebut kemudian menimbulkan kecaman netizen apabila ramai tidak berpuas hati.
Rata-ratanya mempersoal keperluan individu berkenaan menggunakan lampu strob tersebut
Terbaru, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman sedang mengesan pemilik kenderaan mewah tersebut.
Pengarah JSPT Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata, pihaknya menerusi JSPT peringkat kontinjen dan daerah sedang mengesan kenderaan jenis Mercedes-Benz yang tular di media sosial semalam.
"Penggunaan lampu strob adalah menjadi satu kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Pemilik kenderaan itu sedang dikesan bagi diambil tindakan susulan dan siasatan lanjut," katanya menerusi Harian Metro.
Sekadar info, Gempak semalam melaporkan penyanyi Asad Motawh turut sama berada dalam rakaman video tersebut.