Limau mandarin merupakan antara buah-buahan kegemaran rakyat Malaysia.

Berbanding limau lain, kulitnya lebih mudah dikupas dan isinya mudah dipisahkan antara satu sama lain.

Limau mandarin juga kaya dengan vitamin C yang dikatakan mampu melindungi tubuh daripada serangan kanser, merangsang pengaliran darah serta menyembuhkan luka bahagian dalaman dan luaran dengan lebih cepat.

Namun di sebalik rasanya yang enak, ada beberapa perkara yang patut diberi perhatian.

Menurut pakar kimia Dr Fatimah Salim adalah lebih baik sekiranya limau mandarin direndam seketika sebelum di makan.

Perkongsian itu dicoret Dr Fatimah menerusi posting di laman Facebook Makmal Makanan (MaMa) dengan topik ‘Bahan Kimia Pengawet Limau Mandarin?”.

“Kulit limau Mandarin (juga sesetengah buah segar lain juga) mengandungi bahan kimia sulfur dioksida (SO2).

“Bahan kimia SO2 ini digunakan sebagai pengawet untuk mengekalkan kesegaran dan menghalang pertumbuhan kulat pada buah.

“Sebenarnya dalam kuantiti yang sedikit, ianya tidak mendatangkan bahaya kerana badan kita boleh bertoleransi dan mampu untuk detox secara semulajadi.

“Sebab itu FDA membenarkan ianya sebagai pengawet pada makanan. Untuk sistem badan normal, ianya tidak akan terkumpul dalam badan ya. Tiada istilah, sikit-sikit lama-lama jadi bukit.


“Selain daripada penggunaan pada limau Mandarin, bahan kimia pengawet SO2 juga digunakan dalam makanan (contoh buah kering seperti kismis, prune...) dan minuman (minuman berkarbonat dan beralkohol).

“Jika tidak, mudah saja buah kering ini ditumbuhi kulat dan tidak tahan lama.

“Namun sesetengah individu sensitif kepada bahan kimia ini yang mana boleh menyebabkan gejala seperti sakit tekak dan batuk.

“Dan bagi mereka yang mempunyai penyakit asthma pula berpotensi berhadapan dengan masalah pernafasan yang kronik.

“Maka, untuk mengelakkan masalah ini, eloklah direndam seketika dan dibasuh beberapa kali dahulu buah limau Mandarin ini dengan air sebelum dimakan.

“Ini kerana bahan kimia SO2 mudah larut air membentuk bahan kimia asid sulfurik (yang cair).

“Merendam seketika (15-20 minit) dengan air garam/ baking soda diikuti dengan bilasan air bukan saja boleh membuang pengawet, malah saki baki racun perosak (pesticide) yang terdapat pada sayur atau buah lain juga.

“Untuk saya dan anak-anak, yang tidak mempunyai masalah kesihatan, kami kopek dan makan terus saja limau Mandarin ini. Maka, kenali badan kita sepenuhnya.

“Tidak semestinya jika kita terkesan, orang lain terkesan sama. Dan tahap toleransi ini boleh berubah dengan peningkatan usia.

“Cuma beringat, jika badan sudah mula menunjukkan gejala, maka sedarlah dan berhentilah. Ingat, apa-apa yang berlebihan boleh membawa mudarat!” kongsinya

Kami harap perkongsian ini sedikit sebanyak dapat memberikan manfaat buat pembaca Gempak.