TEMPATAN
Suzuki Dedah Teaser Video Hayabusa (2021), Bakal Lancar 5 Februari Ini
Suzuki mengeluarkan satu video teaser yang memberi petunjuk model baharu bakal muncul tidak lama lagi. Teaser terbabit menunjukkan sekilas pandang Suzuki Hayabusa (2021) ditunggang di atas litar yang kemudiannya diselitkan dengan paparan imej meter.

Ia mungkin hadir dengan dua ekzos di kanan dan kiri yang kemudian dipadankan dengan rekaan fairing tepi depan besar dan posisi ergonomik yang tidak terlalu membongkok dengan hendal sedikit atas yang merupakan ciri-ciri dari Hayabusa.

Sementara, tulisan SDSM pada papan pemuka merupakan singkatan kepada Suzuki Diagnostic System Mobile yang mungkin akan ada ciri ketersambungan aplikasi ke telefon pintar bagi memudahkan pengguna memantau sistem jentera dan mengetahui maklumat lain seperti penggunaan minyak dan perbatuan.
Dari segi janakuasa dilaporkan kemungkinan Hayabusa masih mengekalkan enjin lama tetapi sesaran 4-silinder sebaris penyejukkan cecair itu akan ditingkatkan sekitar 1,440cc. Naik taraf ini bagi membolehkan syarikat mematuhi piawaian emisi terkini tanpa mengorbankan kuasa jentera. Dikhabarkan kuasa Hayabusa bakal mencapai 200hp dan dari segi prestasi generasi terkini berkenaan bakal mendahului Kawasaki Ninja H2.
Pelancaran rasmi produk baharu berkenaan akan berlangsung pada 5 Februari 2021 jam 7:00 CET menerusi Suzuki Motorcycle Global Salon yang baharu.
Must-Watch Video