Bulan lalu, Suzuki mencuri tumpuan peminat dunia roda dua dengan menghidupkan semula Katana menerusi penampilan sulungnya ketika pameran Intermot di Cologne, Jerman.
Kehangatan mengenai jentera legenda itu semakin terpadam sewaktu sebilangan pengeluar motosikal giat memperkenalkan dan melancarkan model-model baharu mereka dalam landskap global.
Namun, Suzuki tidak menunggu lama untuk menyemarakkan semula api Katana apabila mereka muncul dengan satu lagi varian yang tampak lebih 'jahat'. Mereka melancarkan Katana Hitam.

Katana Hitam yang membuat debut ketika Pameran Milan dikatakan akan ditawarkan bersama-sama Katana Perak klasik dalam koleksi model edisi 2019 oleh Suzuki.
Pendek kata, pelanggan kini ada dua pilihan warna untuk Katana. Model Katana moden meminjam sejumlah garisan dan binaan daripada jentera Katana asal yang mana keluk-keluk hasil solekan tangan itu diilhamkan daripada sebilah pedang Jepun. Nama pedang itu juga adalah Katana.
Model Katana edisi 2019 menampakkan badan gabungan reka bentuk Katana klasik bersama model konsep Stratosphere 2005. Ia juga diadun dengan Katana 3.0 konsep yang muncul di Eicma pada 2017.

Pereka motosikal terkenal, Rodolfo Frascoli adalah pereka Katana 2019 dengan jalinan kerjasama firma Itali, Engines Engineering, selaku pihak di sebalik pembinaan Katana 3.0.
Bahagian hadapan motosikal ini bakal menggamit memori tentang Katana klasik. Ini kerana lampu hadapannya berbentuk segi empat tepat dengan susunan lampu jenis LED. Namun begitu model 2019 ini juga dilengkapi lampu siang LED.
Lampu belakang Katana adalah jenis LED di bawah pelana dan ternyata mudah dilihat kerana pemegang nombor plet sudah dipindahkan ke komponen lengan ayun. Lampu isyarat membelok Katana diadun pada sisi pemegang nombor plet.

Sistem suspensi jentera ikonik ini boleh laras sepenuhnya. Bahagian depan menggunakan fork terbalik berukuran 43mm manakala di belakang, ia dipadankan dengan penyerap hentak tunggal keluaran KYB.
Sistem ABS Bosch diadun pada brek. Angkup brek jenis monoblok hadapan yang mengawal cakera seluas 310mm, produk berjenama Brembo.
Senasib dengan GSX-R1000 K5, kuasa Katana datang daripada enjin empat silinder sebaris, tetapi ia ditala semula untuk kegunaan di jalan raya.
Enjin 999cc itu boleh menjana kuasa 150hp pada 10,000rpm manakala kuasa tork puncak dirasai ialah 108Nm pada 9,500rpm.