HIBURAN
Syafiq Kyle Seronok Beraya Di Kampung Mimi Lana, Dapat Kenal Keluarga Besar Isteri - “Biasalah Tahun Pertama Ada Rasa Kekok Tapi…”
Pertama kali beraya sebagai suami, pelakon Syafiq Kyle mengakui dia berasa seronok dapat beraya di kampung halaman isteri yang juga aktres Mimi Lana walaupun masih lagi kekok.
Keluarga besar isteri
Syafiq atau nama penuhnya Mohd. Syafiq Shamim Abdul Razak, meluahkan rasa teruja apabila dapat mengenali keluarga besar isterinya sepanjang berada di Taiping, Perak.
"Raya ketiga sudah ke kampung Mimi. Biasalah tahun pertama ada rasa kekok sikit tetapi saya gembira beraya di kampung. Persiapan kami pun sederhana, tiada perancangan lain atau buat apa-apa pun selain beraya di rumah saya dan dia.
"Saya rasa yang manisnya apabila dapat balik kampung berdua walaupun raya ketiga, bahkan lebih seronok bila tengok dia beraya dengan keluarga.
"Tahun pertama dapat beraya bersama keluarga besar isteri, saya kenal semua anak buah serta bapa saudaranya, menarik," katanya kepada Gempak ketika tayangan perdana filem Blood Brothers, di IOI City Mall, Putrajaya pada Isnin.
Anggap gurauan
Ditanya kemesraan yang ditonjol pada hari raya sehingga membuatkan ramai cemburu, bintang filem Blood Brothers itu tidak ambil hati selain menganggap perkara tersebut sebagai gurauan peminat.
"Saya tak terkejut sebab dekat dunia ini memang ada yang cemburu tetapi nak buat macam mana, doakanlah.
"Cemburu pun tak seronok juga tetapi yang cakap itu mesti bergurau sebab mereka pun peminat Mimi juga.
"Mereka suka apa yang mereka lihat, lebih kepada teruja tengok dan komen. Saya tidak ambil hati," ujarnya.
Juadah raya
Dalam pada itu, pelakon drama siri One Cent Thief itu turut berkongsi juadah hari raya yang dimasak oleh Mimi iaitu daging dendeng sewaktu pertama kali menyambut Syawal bersama-sama.
"Dia masak daging dendeng resipi mak dia tetapi tak masak banyak pun sebab kami berdua sahaja.
"Jadi, semasa raya kedua dah habis. Memang sikit sangat," jelasnya.
Februari lalu, Syafiq dan Mimi mengejutkan ramai apabila mengesahkan sudah selamat bernikah dalam sebuah majlis tertutup.
Majlis yang diadakan di negeri kelahiran Mimi di Taiping itu hanya dihadiri keluarga dan kenalan rapat.
Sebelum ini, mereka sepatutnya melangsungkan pernikahan pada 18 Ogos 2023, namun majlis tersebut dibatalkan.
Must-Watch Video