Penyanyi Ernie Zakri menyifatkan keberadaan Syamel bersamanya untuk persembahan Minggu Setiausaha An Afternoon Elegance With Syamel & Ernie Zakri - When Heart Needs A Beat adalah satu pelengkap.

Tidak mudah kata Ernie untuk seseorang artis dipilih untuk menjayakan minggu setiausaha dan menghiburkan tetamu dalam tempoh dua jam tanpa henti.

"Kami dikira masih baru untuk menjayakan minggu setiausaha seperti ini, tambah-tambah pula perlu menyanyi dua jam tanpa henti.

"Memang cuak tetapi saya yakin dengan adanya latihan dan persediaan rapi semuanya akan berjalan lancar.

"Membuat persembahan pada minggu setiausaha menjadi salah satu impian kami berdua sejak bergelar artis.

"Lebih indah apabila Syamel turut sama berkongsi pentas dengan saya. Dia pelengkap untuk saya tampil lebih yakin," kata Ernie kepada Gempak.

Syamel juga akui, sebagai penyanyi yang baru empat tahun berkecimpung dalam industri hiburan, tanggungjawab untuk membuat persembahan pada minggu setiausaha amat berat.

"Tetapi berbekalkan pengalaman yang ada saya harap segalanya akan dipermudahkan.

"Saya akan membuat sedikit kaji selidik bersama penyanyi lama yang sering membuat persembahan pada minggu setiausaha," katanya.

Syamel dan Ernie bakal menyanyikan lebih 12 buah lagu secara solo dan duet pada majlis An Afternoon Elegance With Syamel & Ernie Zakri - When Heart Needs A Beat itu.

An Afternoon Elegance With Syamel & Ernie Zakri - When Heart Needs A Beat akan berlangsung pada 24 April nanti di Hotel Marriot Putrajaya.

Bertemakan klasik elegan, tetamu istimewa bakal dihiburkan dengan persembahan kedua-dua penyanyi bersuara merdu itu.

Tiket boleh dibeli secara individu atau berkumpulan menerusi tempahan meja di talian 018-2993868.