Pempengaruh dan pencipta kandungan kontroversi, Aisyah Hijanah menzahirkan rasa bersyukur apabila prosedur harta sepencarian yang difailkan olehnya sudah selesai dibicarakan di Mahkamah Syariah Shah Alam pagi tadi.

Aisyah berkata, syarikat Hijanah yang pernah diusahakan bersama suaminya, Alif Teega sudah sah menjadi miliknya.

“Hari ini kita baharu sahaja habis perbicaraan untuk kes harta sepencarian yang kita sudah persetujui sebelum ini. Hari ini selesai sudah semua dan disahkan oleh hakim. Syarikat Hijanah ini kami uruskan bersama tapi Alhamdulillah Alif pun sudah serahkan sepenuhnya atas nama Aisyah,” katanya.

Sementara itu, Alif yang juga ditemui di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam selepas perbicaraan kes harta sepencarian itu berkata perkara itu difailkan bukan bermakna isterinya seorang seorang yang tamak, sebaliknya ia diuruskan sendiri oleh isterinya dari awal lagi.

A post shared by Astro Gempak (@astrogempak)


“Apa yang kita buat hari ini bukan menunjukkan isteri tamak, nak bolot semua. Selayaknya Aisyah dapat sepenuhnya harta ini. Benda ini sepatutnya dibuat sebelum poligami. Isteri ada hak minta apa yang dia nak,” katanya.

Ditanya mengenai pembahagian harta buat isteri kedua dikenali sebagai Fatin, Alif berkata Fatin mempunyai bahagiannya yang tersendiri.

“Rezeki dia ada. Tak semestinya kita bagi (Aisyah) semuanya, dia (Fatin) tidak dapat apa. Dia (Aisyah) sesuai dapat apa yang dia dapat.

“Takkan yang diusahakan ini, yang kedua nak merasa. Biarlah Aisyah uruskan. Dia (Fatin) ada rezeki dia. Ada bahagian dia,” katanya.

Terdahulu, Aisyah mendedahkan segala harta sepencarian bersama suami sudah dipindah milik penuh kepada dirinya.

Harta sepencarian yang dimaksudkan termasuklah pegangan perniagaan tudung, rumah, kereta dan aset-aset lain.

Dalam pada itu, Aisyah turut berkongsikan berita gembira yang mana dia bakal melahirkan anak ketiganya pada Mac depan.

“Alhamdulillah bulan depan saya akan bersalin bayi perempuan. Pada awalnya pergerakan bayi sedikit perlahan. Akhir-akhir ini semakin baik,” katanya.