Pelakon dan pendakwah bebas PU Riz akui selesa memulakan latihan amalinya sebagai guru praktikal di Sekolah Menengah Kebangsaan Wangsa Maju Seksyen 2 sejak akhir Ogos lalu.

Kata Riz, dia tidak menolak untuk lebih serius dalam profesyen perguruan dan seronok memulakan tugas tersebut.

"Sekarang saya dalam peringkat praktikal lagi, semoga dapat tempat sebagai seorang pendidik.

"Untuk serius menjadi guru apa salahnya. Ilmu sebagai guru ini bagus.

"Dalam al-Quran pun ada menyebut orang yang baik ini adalah orang yang belajar Al-Quran dan mengajarkannya.

"Jadi Alhamdulillah ada dalam kalangan pelajar saya yang beragama hindu misalnya berminat untuk mengetahui tentang Islam, jadi saya banggalah," katanya kepada Gempak.

Ditanya tentang reaksi pelajar di sekolah apabila mengetahui dirinya dari latar belakang selebriti, jawab PU Riz dia tidak memandang ke arah tersebut.

"Awal-awal masuk sekolah adalah pelajar yang kenal saya. Tapi bukanlah itu yang kita nak cari.

"Handsome nak bawa pergi mana, mati nanti habislah.

"Kalau pelajar lebih fokus kalau nampak cikgu handsome dan itu yang nak dicapai maka okeylah.

"Saya tak pandang handsome ni, tak ada apalah sangat," tambahnya.

Sementara itu, filem lakonan PU Riz, Ada Apa Dengan Dosa terbitan Pencil Pictures & Records akan mula ditayangkan di 70 pawagam bermula 10 September ini.

Ada Apa Dengan Dosa turut dibintangi Wanna Ali, Fasha Sandha, Adam Corrie dan Ashraf Muslim.