Ketabahan pelawak dan pelakon Ebby Yus ketika sesi temuramah bersama Nabil Ahmad dan Elly Mazlein di program edisi khas Kongsi Kasih MeleTop, pada malam Rabu mencuit emosi penonton.

Temuramah tersebut mengimbas kembali tragedi banjir di Hulu Langat, Selangor yang menyebabkan Ebby Yus kehilangan mahligai impiannya sekelip mata.

Kediaman tersebut dibina Ebby Yus sejak empat tahun lalu menggunakan wang simpanan hasil titik peluh selama dia bekerja.

Sepanjang temuramah tersebut Ebby kelihatan tenang dan memberitahu, reda dengan ujian daripada Allah SWT.

“Semua ada impian dan keinginan. Tak ada orang mahu berdepan dengan masalah. Pernahkan kita terfikir bahawa kebaikan dan kenikmatan juga keburukan itu datangnya daripada Allah SWT?

"Kenapa kita nak terima benda yang baik-baik saja, sedang yang tak baik kita tak mau terima? Jadi redalah, sesungguhnya di setiap kesakitan itu ada nikmat yang begitu indah.

“Nikmat itulah yang sepatutnya kita tunggu sebab segala yang kita ada hari ini bukan milik kita. Hidup ini sentiasa dalam ujian. Sakit, ketawa, menangis semua dalam ujian," katanya.

Ebby tidak mengalirkan air mata ketika menceritakan tentang apa yang dilalui sebaliknya masih mampu berlawak dan ketawa.

“Rumah orang lain banjir…Lumpur masuk dalam rumah mereka kena bersihkan. Rumah saya pula masuk dalam lumpur. Dah bersih terus, tak ada apa yang saya nak bersihkan lagi,” katanya ketawa.

Rakaman tersebut kemudiannya menjadi tular dan masih dikongsi warganet sehingga hari ini dan rata-rata mereka kagum dengan ketabahan Ebby.

Antara komen yang ditinggalkan warganet ialah, mereka sebak apabila melihat Ebby yang reda dan sentiasa memuji kebesaran Allah.



Sabtu lalu mahligai impian dibina pelawak, Ebby Yus hasil titik peluh lebih tiga dekad mengabdikan diri dalam dunia seni, musnah sekelip mata apabila dihanyutkan air deras dalam bencana banjir di Hulu Langat, Selangor.

Rumah yang tinggal 10 peratus untuk disiapkan di tanah setengah ekar di kawasan penempatan itu, dihanyutkan air deras, mengakibatkan Ebby atau nama sebenar, Muhammad Yunus Abdul Rashid kerugian hampir RM200,000.

[[BACA: Banjir Hulu Langat, Rumah Ebby Yus Dihanyutkan Air]]

Foto: Azrul Rafie