Filem animasi arahan Nizam Abd Razak, Mechamato Movie yang juga keluaran MONSTA dan Astro Shaw yang diterbitkan baru-baru ini telah mencetuskan fenomena luar biasa apabila berjaya memecah rekod ‘Box Office’ dalam kategori filem animasi tempatan.

Mechamato Movie telah meraih tempat pertama dalam carta kutipan tertinggi filem animasi tempatan dengan jumlah kutipan sebanyak RM30.75 juta, dalam hanya 22 hari tayangan di seluruh Malaysia.

Filem tersebut berjaya memintas kutipan filem-filem gergasi keluaran Hollywood seperti Minions 2: The Rise of Gru (2022), Big Hero 6, Incredibles 2, Kung Fu Panda 2, How to Train Your Dragon: The Hidden World dan lain-lain.

Malah, Mechamato Movie dikatakan mempunyai peluang yang cerah untuk mengatasi kutipan tertinggi untuk kategori filem animasi iaitu Frozen 2 yang ditayangkan pada 2019.

Berkata mengenai kemampuan filem ini untuk bersaing dengan animasi antarabangsa, Ketua Penjenamaan dan Pemasaran MONSTA, Faiz Zainal Abidin menjelaskan kejayaan tersebut berjaya diraih kerana sambutan hebat yang diberikan oleh rakyat Malaysia.

“Sokongan rakyat Malaysia dan pengusaha pawagam terhadap Mechamato Movie telah berjaya mengangkat filem ini untuk menjadi antara yang terlaris di Malaysia.

“Kejayaan ini merupakan penanda yang positif bahawa penonton Malaysia tidak akan ragu-ragu untuk memberikan sokongan kepada karya seni anak tempatan,” katanya.

Meskipun sudah memasuki tiga minggu tayangan di pawagam, Mechamato Movie dilihat terus mendapat sambutan hangat di seluruh pawagam dalam negara dengan jumlah tayangan yang memberangsangkan.

Filem Mechamato Movie ini dijangkakan akan terus berada di pawagam sehingga akhir bulan Januari 2023. Mari terus menyokong dan berusaha untuk memartabatkan filem tempatan.

A post shared by Astro Shaw Sdn Bhd (@astroshaw)