Usahawan yang baru berjinak-jinak dalam bidang nyanyian, Ahmad Iqbal Zulkefli menafikan kontroversi melibatkan dirinya sebelum ini adalah strategi pemasaran sebelum muncul bersama single pertama, berjudul Hujan.

Iqbal berkata, dia memang bersunguh-sungguh untuk menghasilkan single Hujan dan tidak perlu melibatkan kontroversi.

“Apabila saya katakan saya mahu buat, saya akan pastikan ia benar-benar tercapai. Jika ia adalah marketing, saya akan jelaskan bahawa ini adalah marketing,” katanya.

Mengulas mengenai Hujan, Iqbal berkata single tersebut mengisahkan tentang perjalanan hidup dan suka-duka dilaluinya selama ini.

Katanya lagi, lagu tersebut akan mula dilancarkan pada 1 November ini serentak dengan muzik video rasmi di laman sosial YouTube Rusa Music.

“1 November lagu saya yang bertajuk HUJAN (Official Music Video) bakal ditayangkan di Youtube Rusa Music. Mengisahkan tentang kisah benar, perjalanan hidup saya yang dilalui selama ini.

“Terima kasih pengarah video muzik Eric Fuzi kerana sanggup menuruti kemahuan saya dengan penggambaran yang memakan masa 24 jam. Bermula 6 pagi sehingga 6 pagi keesokan harinya.

“Saya menghargai karya komposer Zai Hamzah dan Oja yang tidak tidur banyak hari demi menyiapkan lagu saya. Tiga hari setelah menerima lagu terus ke sesi rakaman.

“Lirik sebahagiannya dari saya sendiri digabungkan idea bersama Zai Hamzah dan Oja. Saya hargai semua krew, guru vokal yang bekerja keras. Berharap sudi bekerjasama lagi nanti,” katanya.

Tambah Iqbal ada sebab tertentu single tersebut diberi judul ‘Hujan’ selepas ada netizen yang bertanya mengapa tidak diletakkan ‘Banjir’ kerana ia lebih tepat untuk menggambarkan dugaan dilalui Iqbal.

“HUJAN kerana waktu itu saya kebasahan di tengah hujan, dihalau ketika sedang hujan lebat. Bukan banjir,” jawabnya ringkas.