Sekilas
- Abby Abadi meluahkan rasa kecewa apabila pengorbanannya membesarkan anak-anak seolah-olah dilupakan, khususnya sempena ulang tahun ke-18 anak perempuannya, Maria Danisha Hakim.
- Abby berkongsi bahawa dia telah menjaga anak-anak dengan penuh kasih sayang walaupun dalam keadaan kewangan yang sederhana dan merasa hati makan apabila anak-anak seakan tidak menghargai pengorbanannya dan bekas suami.
- Walaupun berat hati, Abby tetap mengucapkan selamat ulang tahun kepada Maria Danisha dan berharap anaknya teruskan hidup tanpa mengharapkan dirinya atau bekas suami di masa hadapan.
Luahan pelakon Abby Abadi buat anak perempuannya, Maria Danisha Hakim sempena ulang tahun kelahiran ke-18 mengundang perhatian netizen.
Menerusi perkongsian di Instagram, Abby meluahkan rasa kecewa dan terkilan apabila berasakan segala pengorbanannya dalam membesarkan anak-anak seakan-akan dilupakan.
“Terima kasih menjadi anak mama untuk 18 tahun ini. Tak tahu nak tulis apa sebab hati mama dah hilang rasa sebenarnya.
“Tapi mama nak awak tahu, dari dalam perut, dari kecil mama jaga anak-anak mama bagai menatang minyak yang penuh.
“Makan mewah, tempat tinggal selesa, berjalan sana sini, pakai baju cantik walaupun mama ni ‘tak berapa berada’ pun sebenarnya,” kongsinya.
Dalam pada itu, Abby mengakui dia makan hati dengan anak-anak yang didakwa sudah melupakan dirinya yang banyak berkorban.
“Bila dah besar, anak-anak semudah ini melupakan mama. Kalau mama yang melahirkan pun dibuang macam tu je, apatah lagi abahnya. Ada pun seakan tiada dibuatnya.
“Hampir 12 tahun abah bersama mama, tolong mama tanggung makan, minum, rumah yang menjadi tempat berteduh, beli hadiah mahal-mahal, akhirnya pun seakan tak wujud.
“Maaflah bukan nak mengungkit tapi kali ini biar tahu. Mama jadi begini sebab makan hati. Mama tak pernah, tak rajin, tak berkesempatan nak bercerita sebenarnya yang dari awal awak dalam perut, mama bawa awak ke sana ke sini, cari rezeki. Awak hanya ada mama sahaja,” katanya.
Tambah Abby, dia berat hati untuk menulis ucapan hari lahir buat Maria Danisha kerana bimbang luahan tersebut akan disalah tafsir.
Namun, dia tetap memilih untuk mengucapkan selamat ulang tahun selagi masih diberikan kesempatan untuk berbuat demikian.
“Berat juga rasa hati nak ucap, sebab tahu akan jadi cerita lain sebab kecil hati sangat. Mama ucap juga selagi masih ada nyawa. Maafkan mama tak mampu jadi mama yang baik, yang hebat dan kaya untuk anak-anak hidup senang lenang.
“Di umur awak yang ke-18 ini, lupakan mama terus tak apa, teruskanlah hidup dengan mereka. Semoga kekal hingga ke syurga firdausi.
“Kalau mama, abah sakit atau meninggal jangan datang tau. Uruskan sahaja kehidupan sendiri. Pesan mama untuk yang terakhir kalinya,” ujarnya.