Isteri kepada sutradara tersohor Allahyarham Mamat Khalid, Hasmah Hassan berkongsi detik-detik terakhir perjalanan suaminya menuju negeri abadi pada Ahad lalu.

Hasmah akui masih tidak percaya dengan kehilangan Mamat namun seperkara yang melapangkan dadanya apabila pemergian Allahyarham dipermudahkan.

"Saya masih tak percaya Allahyarham dah tiada. Rasa lebih teruk melihat dia masuk dan duduk hospital lama daripada dia meninggal dunia.

"Sebab Mamat pergi dengan sangat tenang...

"Pada malam kejadian, dia bermain keyboard lagu Apokalips, kemudian dia kena kancing gigi dan tersandar.

"Meninggal dunia itu mudah sampai tahap tak percaya dia dah pergi, saya minta buat pengesahan kali kedua sebelum dikebumikan.

"Dia pergi sangat tenang, tak ada kerut pada wajah tapi kelihatan tersenyum. Ini berkat doa semua orang," katanya kepada Gempak di kediamannya di Ipoh, sehari selepas pemergian Mamat Khalid.

Dalam pada itu, Hasmah meletakkan harapan kepada anaknya, Mohd Khalid Amen untuk menyambung legasi yang ditinggalkan Allahyarham Mamat.

Kata Hasmah, biarpun ketika hayat Mamat berbelah bagi untuk melepaskan tanggungjawab mengemudi karya seni, kini, Amenlah yang dirasakan individu paling layak.

"Saya berharap anak saya Amen dapat menyambung legasi yang ditinggalkan arwah.

"Projek dah susun sampai Disember... Tolonglah bagi sokongan pada Amen.

"Sebab Mamat rasa dia tak bersedia lagi terutama dari segi menerima hentaman dan kritikan netizen," luahnya.

Untuk itu, Amen juga akan menyambung naskhah telefilem Kampong Pisang Berbuah Dua Kali yang sepatutnya memulakan penggambaran minggu hadapan.

BACA: "Kita Fokus Pada Keluarga Dulu" - Telefilem Kampong Pisang Berbuah Dua Kali Arahan Mamat Khalid Ditangguhkan Sementara

Sebagai mengenang pemergian Allahyarham Mamat Khalid, Astro juga menayangkan 19 karya hebat di saluran Astro On Demand.

Antara filem dan drama bersiri yang dirangkumkan dalam rel Mamat Khalid Dalam Kenangan termasuklah Hantu Kak Limah, Episod 10 Journey To Stardom, Klik Rider dan Yang Dulu Bersama Mamat Khalid.

Pemergian Allahyarham Mamat meninggalkan impak luar biasa kepada industri seni tempatan.

Al-Fatihah.


***Untuk kemaskini berita terkini, cepat & mudah, langgan saluran Telegram Gempak!
Dah mengundi artis kegemaran korang di AME 2021? Klik banner di bawah untuk mengundi!