Penyanyi berbakat, Aina Abdul bakal tampil lagu raya terbaru pada 1 Ramadan ini.

Menurut Aina, buah tangan terbarunya itu akan menampilkan kelainan berbanding lagu raya sebelumnya.

"Lagu raya terbaru saya sudah siap dihasilkan, Insya-Allah akan dilancarkan pada 1 Ramadan ini.

"Saya sangat teruja kerana genre kali ini berbeza dengan lagu raya saya tahun lalu.

"Sebelum ini liriknya agak sedih dan kurang elemen tradisional, tapi kali ini, lagu raya saya berentak joget dan zapin," katanya kepada Gempak.

Aina berkata demikian ketika ditemui di rakaman sebuah program televisyen baru-baru ini.

Dalam pada itu, Aina menyedari lagu rayanya tahun lalu, Syahdu Di Pagi Syawal kurang mendapat sambutan.

Bagaimanapun, penyanyi bervokal lantang ini akan terus berusaha tanpa putus asa.

"Ya, lagu raya tahun lepas tu kurang naik, bagaimanapun saya tak kisah.

"Saya akan terus cuba tanpa putus asa sehingga la berjaya, kalau lagu sendu tak naik, kita buat lagu joget pula dan tengok sambutannya bagaimana," tuturnya menutup bicara.