HIBURAN
Tak Boleh Buat Pembedahan Bariatrik, Enot Kongsi Cara Nak Kurus Dengan Sihat - “Saya Bekas Pesakit Kanser Usus…”
Pelakon dan pelawak Enot menegaskan dia mampu untuk mendapatkan tubuh langsing selepas tidak mengambil nasi selama setahun selain menolak gula serta bersenam.
Risiko ancam nyawa
Enot atau nama sebenarnya Aliza Abdullah, berkata dia tidak boleh melakukan kaedah melibatkan bahagian perutnya memandangkan ia berisiko mengancam nyawa disebabkan dirinya merupakan bekas pesakit kanser usus.
ARTIKEL BERKAITAN: Sibuk Bergaduh Isu Pengkid, Lain Pula Netizen Perasan - “Kenapa Muka Enot Nampak Lain?"
ARTIKEL BERKAITAN: Kasar & Tak Sedia Kahwin Lagi, Enot Dilabel Suka Kaum Sejenis? - "Ada Yang Sangka Saya Lesbian"
“Gula pun saya tak ambil. Saya ambil gula titik (pemanis tanpa kalori). Kalau minum kopi saya buat tanpa gula, kopi pahit atau kopi O. Nasi pun saya tak ambil dan ikutkan betul-betul tak makan nasi adalah setahun.
“Saya bekas pesakit kanser usus. Usus saya tak boleh usik langsung, bermakna saya tempah maut kalau saya potong usus.
“Saya diminta menurunkan berat badan kerana mempunyai masalah sakit tulang belakang dan lutut. Tapi kena turunkan secara natural. Jadi saya buat ‘sit up’ 100 kali sebelum tidur, 100 kali selepas bangun,” katanya dalam perkongsian di Instagram.
Turun berat
Menurut pelawak berusia 46 tahun itu, segelintir pihak hanya pandai menyebarkan fitnah apabila melihat keadaan fizikal terkininya selepas menurunkan berat badan ke 75 berbanding hampir mencecah 100 kilogram sebelum itu.
“Dulu saya pernah kurus tapi masa zaman sekolah. Itulah mereka cuma tahu asalkan kurus sahaja potong usus.
“Mereka tahu menfitnah tanpa bertanya. Banyak sangatlah duit saya nak potong usus (bariatrik). Hari tu masa bedah lutut pun saya minta bantuan orang. Kelakar,” ujarnya.
Jus buah
Hanya menggunakan bahan alami, kongsinya lagi dia mengambil jus buah-buahan yang diadun sendiri sebagai minuman tambahan.
“Saya juga suka membaca dan mengamalkan pengambilan jus termasuk lemon serta nanas yang dikisar sendiri untuk membuang angin dalam badan,” katanya.
Minggu lalu Enot berkongsi foto memperlihatkan perubahan fizikal ketara yang kini kelihatan semakin langsing sekali gus menyerlahkan kejelitaannya.
Must-Watch Video