Penyanyi Datuk Seri Rossa rasmi melancarkan muzik video karya istimewa darinya yang berjudul The Heart You Hurt, semalam.

The Heart You Hurt adalah lagu yang dialih bahasa dari Indonesia ke bahasa Korea yang juga berbunyi Sangcheo Badeun Maeum. Lagu asalnya adalah Hati Yang Kau Sakiti yang menjadi salah satu lagu hit Rossa pada tahun 2009 silam.

Namun, kerana 'kegilaannya' menonton drama Korea, World of The Married, Rossa terinspirasi untuk menghasilkan lagu tersebut yang dibuat dalam alih bahasa atas bantuan rakan rakan yang begitu fasih dengan bahasa tersebut.

"Pada asalnya alih bahasa lagu ini dibuat secara suka suka saat saya sedang gila menonton World of The Married dan dimuat naik di Instagram.

"Kemudian ramai yang suka dan kita pun memulai projek merakamkan semula lagu ini dengan bantuan dan persetujuan banyak pihak yang terlibat," jelas Rossa dalam sidang media virtual MV The Heart You Hurt, semalam.

Lagu ini sendiri telah dirilis pada 14 Ogos 2020 oleh Inspire Musik. Hanya bulan lalu, Rossa menghasilkan muzik video yang sekali lagi menjadi sejarah peribadi dan industri muzik Indonesia apabila ia membabitkan salah seorang anggota kumpulan terkenal Korea, Super Junior, Lee Dong Hae.

Lewat kolaborasi di muzik video ini, Dong Hae dijelmakan sebagai sahabat baiknya yang berada di Seoul, sementara dirinya sudah memiliki kekasih yang dimainkan karakternya oleh Dion Wiyoko.



Menurut Rossa kerjasama yang dijalin dengan Dong Hae yang juga teman baiknya hanya dapat direalisasikan menerusi muzik video The Heart You Hurt kerana niat berkolaborasi dalam sebuah karya terbatas dek kerana pandemik COVID 19.

"Untuk menghasilkan kolaborasi atau material bersama Super Junior pada waktu ini (pandemik) memerlukan komitmen yang lebih seperti harus brainstorming bersama. Namun keadaan sekarang tidak mengizinkan.

"Jadi akhirnya kami putuskan agar kolaborasi ini tetap terwujud melalui penampilan Dong Hae dalam muzik video ini," kata Rossa yang juga merupakan artis di bawah naungan SM Entertainment.

Malah untuk memungkinkan kerjasama mereka menjadi realiti, penggambaran muzik video dijalankan di Indonesia dan Korea Selatan secara berasingan, namun tetap menghasilkan sebuah karya yang membanggakan.

Dong Hae sendiri mengaku teruja kerana muncul di muzik video Rossa, yang lagu asalnya dihasilkan oleh Enda Ungu.

“Saya muncul di musik video penyanyi Indonesia, Rossa. Sebuah projek yang menyenangkan," tulis Dong Hae beberapa hari lalu di teaser lagu yang dimuat naik di Instagramnya.



Instagram: @itsrossa910, @dionwiyoko