Kejayaan filem Munafik 2 terkini meraih RM42 juta menjadi pencapaian terbaik buat industri perfileman tempatan tetapi ada segelintir karyawan seni mempersoal sama ada jumlah kutipan itu benar atau rekaan.

Pengarah Urusan Skop Productions Sdn Bhd, Datuk Yusof Haslam berkata, jumlah kutipan tersebut adalah suatu diluar jangkaannya sebagai produser apatah lagi filem arahan Syamsul itu berjaya meraih kutipan hampir RM4 juta untuk tayangan di Singapura dan Brunei sebanyak RM1 juta.

"Pada awalnya saya jangka kutipan filem ini hanya RM20 juta tetapi tidak sangka ia berjaya meraih RM37 juta untuk tayangan di Malaysia sahaja," katanya kepada Astro Gempak.

Baginya, terpulang pada mana-mana individu jika mahu mempersoal kutipan tersebut benar atau rekaan.

"Boleh rujuk pada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) dan jumlah kutipan ini juga merangkumi Singapura dan Brunei.

"Munafik 2 membuktikan boleh mencapai kutipan RM2 juta pada malam sebelum hari pertama tayangan mencecah lebih RM3 juta manakala pada Sabtu (dalam tempoh 3 hari) meraih RM6 juta.

"Kutipan ini sama seperti standard filem super blockbuster Hollywood seperti Fast and Furious dan Jumanji yang mencatat kutipan tinggi hanya dalam tempoh 4 hingga 5 hari tayangan," katanya.

Beliau percaya tiada mustahil untuk filem tempatan mencatat kutipan tingga jika mempunyai cerita yang menarik untuk tarik perhatian penonton ke pawagan.

"Orang tak puasa hati ini lebih bersifat hati hitam. Saya tetap bersyukur dengan kejayaan Munafik 2 kali ini. Ada individu yang jenis tengok filem lain berjaya kemudian mempertikaikannya.

"Bagi saya, tidak jadi kudis pun atas kritikan sebegini. Memang tidak boleh puaskan hati semua orang dan sama ada percaya atau tidak itu terserah. Ini (kutipan) adalah realiti, kalau nak cakap bohong tiada makna," katanya.

Jelasnya, beliau sendiri mendapat maklumat kutipan daripada laporan yang diberikan pemamer (pawagam) sebelum menghantar laporan tersebut pada FINAS.

"Apabila dihantar ke FINAS, mereka juga akan menyemak semula dengan pawagam jika maklumat ini benar atau sebaliknya.

"Ini adalah rekod untuk industri dan bukan untuk saya bermegah. Malah, ia juga adalah satu kejayaan pada industri perfileman tanah air," katanya.

KISAH DEKAT MASYARAKAT



Yusof percaya antara faktor Munafik 2 berjaya adalah kerana filem itu sudah mempunyai pengikutnya sendiri yang menonton filem pertamanya lalu.

"Ceritanya barangkali bukan cerita hantu tapi dekat dengan 'Islamic content'. Filem yang membawa kisah dekat dengan penonton mampu membuatkan orang ramai pergi ke pawagam.

"Rupanya filem ini ada pengikut setia sejak 'trailer', ramai yang teruja sehingga mendapat repsons dari Arab, Filipina dan Korea.

"Filem tempatan paling banyak dapat 'feedback' adalah Munafik 2. Meskipun ada yang menyukai Munafik 1 tapi majoriti daripada media sosial menunjukkan 95 peratus penonton suka sekuel kali ini daripada filem pertama," katanya.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Astro Gempak